Baja lewat: Kerajaan bagi wang, petani beli sendiri

LocalOpinion
21 Aug 2026 • 7:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Baja lewat: Kerajaan bagi wang, petani beli sendiri

ALOR SETAR: Kerajaan dicadang supaya menyalurkan bayaran kos baja sebatian tambahan secara terus kepada pesawah supaya mereka boleh membeli sendiri bekalan daripada pembekal yang mempunyai stok.

Pengerusi Badan Bertindak Petani di Kawasan MADA, Che Ani Mat Zain berkata, pendekatan itu adalah penyelesaian jangka pendek paling praktikal bagi memastikan pesawah memperoleh baja pada waktu diperlukan tanpa perlu terus bergantung kepada pro­ses pengagihan yang lewat.

“Saya cadangkan untuk penyelesaian jangka pendek ini, kerajaan bayar harga baja kepada petani. Jadi petani boleh pergi beli baja di mana-mana yang ada bekalan tersedia.

“Berapa kos yang kerajaan perlu keluarkan, keluarlah. Asalkan petani mendapat baja dan hasil pengeluaran dapat ditingkatkan. Kita tidak mahu setiap musim kita berdepan masalah sama dan akhirnya petani yang menanggung risiko,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Image from: Baja lewat: Kerajaan bagi wang, petani beli sendiri
CHE ANI MAT ZAIN

Menurut beliau, masalah bekalan baja perlu diberi perhatian serius kerana baja me­rupakan antara input terpen­ting dalam menentukan hasil tanaman selain faktor tanah, benih dan air.

Katanya, kelewatan bekalan bukan sahaja menyebabkan pesawah berdepan risiko kehilangan hasil malah boleh memberi kesan kepada pendapatan mereka dan keterjaminan makanan negara.

“Kita tidak boleh tunggu lagi. Kalau sistem pengagihan sekarang mengambil masa, berikan ruang kepada petani untuk mendapatkan sendiri baja yang ada di pasaran, manakala kerajaan menanggung kos yang sepatutnya ditanggung melalui bantuan atau subsidi.

“Kerajaan tidak semestinya perlu menunggu baja dihantar melalui saluran biasa tetapi apa yang penting baja sampai kepada petani pada masa diperlukan,” katanya.

Che Ani berkata, meka­nisme tersebut juga boleh dilaksanakan sebagai penyelesaian kecemasan untuk musim semasa, sementara kerajaan menilai semula sistem pembekalan dan pengagihan baja bagi memastikan masalah sama tidak berulang pada musim akan datang.

“Jangan setiap musim kita terhantuk pada benda yang sama, di tempat yang sama. Setiap tahun masalah yang sama berlaku dan petani yang menanggung risikonya.

“Kerajaan perlu selesaikan untuk jangka pendek dan pada masa sama cari penyelesaian jangka panjang. Jangan hanya selesai apabila masalah sudah berlaku,” katanya.

Pada 13 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan keluhan petani di kawasan MADA yang berdepan masalah kelewatan pembekalan baja tambahan meskipun ada usia tanaman padi kini sudah menjangkau 80 hari.

Mengikut kitaran tanaman, baja sebatian tambahan atau dikenali baja tiga sepatutnya diberikan sekitar umur tanaman 40 hingga 45 hari atau paling lewat sekitar 60 hari. – UTUSAN

The post Baja lewat: Kerajaan bagi wang, petani beli sendiri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved