amree20/08/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – Pekat Group Berhad perlu memastikan kejayaan pelaksanaan pelbagai projek diperoleh dapat dikekalkan seiring pertumbuhan tempahan, menurut analisis MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek kumpulan berkenaan dilihat masih positif berikutan permintaan kukuh terhadap projek solar berskala besar (LSS), serta sistem perlindungan pembumian dan kilat (ELP).
Kumpulan tersebut ujarnya, aktif dalam kerja-kerja pembangunan bagi pusat data (DC) dan peralatan pengagihan tenaga dengan ketika ini sudah mempunyai buku tempahan yang melebihi RM800 juta.
"Perkembangan positif ini memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh dan menyokong pertumbuhan Pekat sendiri untuk merentas semua segmen operasi kumpulan itu," jelas MBSB Research dalam nota.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.03 sesaham, berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) pada FY27 sebanyak 8.1 sen.
Bagi 2QFY26, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih teras RM13.8 juta, meningkat 25.3%, manakala hasil melonjak 38.1% kepada RM175.4 juta, disokong prestasi lebih baik dalam semua segmen operasi.

Untuk 1HFY26, hasil Pekat naik 23.8% kepada RM343.3 juta, dengan keuntungan teras bertambah 14.5% kepada RM26.3 juta, yang mewakili kira-kira 50% daripada unjuran setahun MBSB Research sendiri.
"Segmen solar fotovolta (PV) menjadi penyumbang hasil terbesar dengan RM84 juta, meningkat 34.2%, didorong kemajuan projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)," tambahnya.
Segmen peralatan pengagihan tenaga menerusi subsidiari, EPE Switchgear pula kata firma tersebut, menyumbang RM46.9 juta, naik 34.7%, manakala hasil segmen ELP melonjak 67.2% kepada RM24.9 juta.
MBSB Research menjangka prospek pengisian semula tempahan Pekat kekal sihat, dengan segmen solar mendapat manfaat daripada LSS5+ dan LSS6, sementara ELP berpotensi memanfaatkan projek DC.
Ia mengekalkan unjuran hasil dan TP selepas keputusan 2QFY26 berada dalam jangkaan, serta kekal positif terhadap prospek kumpulan berdasarkan pertumbuhan pelbagai kerja LSS dan solar bumbung.
"Tidak ketinggalan ialah banyak projek ELP yang berkaitan DC serta pengembangan kemajuan EPE Switchgear dalam melaksanakan kategori tenaga voltan sederhana 11kV dan 33kV," jelas firma itu.
Bagaimanapun MBSB Research mengingatkan keupayaan Pekat mengekalkan momentum pelaksanaan projek dan mendapatkan tempahan baharu kekal antara cabaran utama kumpulan. - DagangNews.com




