Destini fokus pelaksanaan mampan, mobiliti dan tenaga enjin baharu pertumbuhan

LocalBusiness & Finance
20 Aug 2026 • 3:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Destini fokus pelaksanaan mampan, mobiliti dan tenaga enjin baharu pertumbuhan Image from: Destini fokus pelaksanaan mampan, mobiliti dan tenaga enjin baharu pertumbuhan hamden20/08/2026 - 15:53 SHAHRIL MOKHTAR Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Destini Berhad memasuki fasa baharu pertumbuhannya dengan memberi keutamaan kepada pelaksanaan strategi, pengembangan kapasiti dan pertumbuhan perniagaan, selepas melengkapkan proses penyusunan semula Lembaga Pengarah serta pasukan kepimpinan Kumpulan.

 

Dengan peralihan kepimpinan kini selesai, fokus utama Destini adalah memperkukuh pelaksanaan merentasi perniagaan teras, khususnya dalam mengembangkan keupayaan segmen Mobiliti dan Tenaga yang dilihat berpotensi menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan dan keuntungan Kumpulan pada masa hadapan.

 

Langkah itu turut menyaksikan Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar kembali ke peranan eksekutif sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, berkuat kuasa 14 Ogos 2026, bagi menerajui strategi pertumbuhan dan memperkukuh pelaksanaan operasi.

 

Beliau memiliki pengalaman luas dalam sektor rel dan pengangkutan awam, termasuk pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di Prasarana Malaysia Bhd, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan MRT Corp.

 

Pengalaman dalam pembangunan dasar, transformasi organisasi, operasi serta pelaksanaan projek infrastruktur rel berskala besar dijangka memberi kelebihan kepada beliau dalam memacu fasa pertumbuhan seterusnya Destini.

 

Segmen Mobiliti diperkasa sebagai pemain MRO rel spektrum penuh

Dalam segmen Mobiliti, Destini kini berada pada kedudukan strategik sebagai satu-satunya penyedia tempatan yang berupaya menawarkan keseluruhan spektrum perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) rel Tahap 1 hingga Tahap 4 (L1-L4).

 

Keupayaan itu diperkukuh selepas syarikat memperoleh kontrak RM45.58 juta daripada Railway Assets Corporation (RAC) bagi melaksanakan perkhidmatan MRO L1 dan L2 untuk 13 set tren Diesel Multiple Unit (DMU).

 

Kontrak tersebut melengkapkan mandat sedia ada Destini bagi perkhidmatan MRO L3 dan L4, termasuk kontrak bernilai RM71 juta melibatkan Electric Train Sets (ETS).

 

Dengan keupayaan menawarkan perkhidmatan secara menyeluruh daripada L1 hingga L4, Destini dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem rel negara, sekali gus membuka peluang untuk syarikat membida lebih banyak kontrak penyelenggaraan dan baik pulih pada masa hadapan.

 

Setakat 30 Jun 2026, segmen Mobiliti mempunyai buku tempahan tertunggak berjumlah RM831.7 juta, memberikan keterlihatan hasil yang lebih kukuh kepada Kumpulan.

 

destini1

 

Tenaga platform pengembangan ke pasaran antarabangsa

Pada masa sama, Destini turut mempercepatkan usaha mengembangkan segmen Tenaga, khususnya menerusi perniagaan Tubular Running Services (TRS).

 

Kumpulan kini melihat peluang untuk membawa kepakaran teknikalnya melangkaui pasaran tempatan dan menembusi pasaran luar pesisir antarabangsa.

 

Berpangkalan di Kemaman Supply Base sebagai hab teknikal utama, Destini baru-baru ini memperoleh dua kontrak utama selama lima tahun daripada PETRONAS Carigali dan Searah (Malaysia).

 

Kontrak jangka panjang itu memberikan keterlihatan hasil sehingga 2031, selain menjadi asas kepada strategi Destini untuk mengembangkan kepakaran TRS ke pasaran antarabangsa.

 

Strategi itu dilihat penting dalam usaha Kumpulan memperluaskan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada projek domestik semata-mata.

 

Fokus pelaksanaan dan pertumbuhan mampan

Destini berkata, dengan struktur kepimpinan baharu kini lengkap, keutamaan Kumpulan adalah memastikan pelaksanaan komitmen sedia ada berjalan lancar sambil meneroka peluang baharu yang mampu memperkukuh asas pendapatannya.

 

Shahril berkata, pembaharuan Lembaga Pengarah memberikan Destini mandat yang jelas untuk bergerak ke hadapan dengan fokus dan keyakinan baharu.

 

“Keutamaan segera kami adalah pelaksanaan — menyampaikan komitmen sedia ada, memperkukuh keupayaan teras dan meneroka peluang yang mampu memacu pertumbuhan mampan.

 

“Kami kekal yakin terhadap asas kukuh perniagaan kami, khususnya keupayaan yang semakin berkembang dalam MRO rel dan sektor Tenaga,” katanya.

 

Beliau berkata, dengan sokongan Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan yang diperbaharui, Destini kini memberi tumpuan untuk meningkatkan prestasi operasi serta membina nilai mampan kepada pemegang saham dan semua pihak berkepentingan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved