Cadangan projek pusat data di Kota Damansara ditarik balik selepas bantahan penduduk

20 Aug 2026 • 4:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cadangan projek pusat data di Kota Damansara ditarik balik selepas bantahan penduduk Image from: Cadangan projek pusat data di Kota Damansara ditarik balik selepas bantahan penduduk amree20/08/2026 - 16:10 Foto Wikipedia Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Cadangan pembangunan pusat data (DC) di Kota Damansara ditarik balik buat sementara waktu selepas pemaju mengambil keputusan menggantung permohonan kebenaran merancang kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) susulan kebimbangan dan bantahan yang disuarakan penduduk setempat.

 

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, perkembangan terbaharu itu dimaklumkan kepadanya oleh pihak berkuasa tempatan dan menunjukkan suara penduduk yang disampaikan melalui saluran sewajarnya mampu menghasilkan keputusan terbaik.

 

Menurut beliau, pendirian itu bukan bermaksud menolak pembangunan atau pelaburan, sebaliknya projek berskala besar yang berpotensi memberi kesan terhadap kehidupan penduduk perlu mengambil kira pandangan masyarakat setempat.

 

 

 

 

 

 

"Saya tidak menentang pembangunan atau pelaburan. Tetapi bagi projek berskala besar yang boleh menjejaskan kehidupan penduduk, rakyat mesti mempunyai suara," katanya.

 

Ramanan menjelaskan sebagai wakil rakyat, beliau bertanggungjawab membawa kebimbangan munasabah penduduk kepada pihak berkuasa dan memastikan aspek kebajikan masyarakat tidak diketepikan dalam proses pembangunan.

 

Beliau sebelum ini menyatakan pendirian menolak cadangan projek DC berkenaan pada 17 Julai 2026, dengan alasan proses mendapatkan kelulusan tidak disertai penglibatan sewajarnya bersama penduduk Kota Damansara.

 

R Ramanan_DagangNews2026

 

Menurutnya, pembangunan berskala besar perlu dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab, selain mengambil kira pandangan komuniti serta penilaian menyeluruh terhadap kesan projek kepada kawasan sekitarnya.

 

Perkembangan itu turut mencerminkan cabaran yang semakin penting dalam pembangunan DC di kawasan bandar, apabila keperluan pelaburan digital perlu diseimbangkan dengan kepentingan penduduk, kesesuaian perancangan bandar dan kesan terhadap persekitaran setempat.

 

Ramanan berkata bagi sebarang permohonan pembangunan pada masa hadapan di kawasan Sungai Buloh, sesi libat urus bersama penduduk dan pihak berkepentingan perlu diadakan terlebih dahulu.

 

Beliau menegaskan pembangunan dan pelaburan sememangnya penting kepada pertumbuhan ekonomi, namun kedua-duanya perlu bergerak seiring dengan kepentingan serta kebajikan rakyat.

 

 

 

 

 

"Saya akan terus memantau keadaan dan memastikan suara penduduk Kota Damansara didengari serta kepentingan mereka dilindungi," katanya yang juga merupakan Menteri Sumber Manusia.

 

Penarikan balik permohonan itu namun tidak bermakna pembangunan DC di Kota Damansara terbatal secara kekal, sebaliknya perkembangan seterusnya bergantung kepada sebarang permohonan baharu serta proses libat urus dengan penduduk dan pihak berkepentingan pada masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved