
BATU PAHAT – Gara-gara menuduh isterinya menjalin hubungan dengan lelaki lain, seorang pekebun bertindak mengejar wanita itu dengan menggunakan parang dalam kejadian di Senggarang di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi di sebuah rumah di Sungai Kalong apabila suspek yang berusia 42 tahun dipercayai mengambil senjata sepanjang 62 sentimeter (cm) sebelum mengejar isterinya yang berusia 37 tahun.
Suspek turut mengeluarkan kata-kata ugutan sehingga menyebabkan isterinya ketakutan. Perbuatan lelaki itu turut disaksikan oleh ibu mentua dan anaknya.
Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebelum polis memberkas suspek pada hari sama bagi membantu siasatan.
Suspek direman selama empat hari bermula hari ini selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman di Mahkamah Majistret di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.-KOSMO! ONLINE
The post Pekebun kejar isteri guna parang panjang appeared first on Kosmo Online.






