Peniaga produk pertanian rugi lebih RM1.15 juta terpedaya 'love scam'

LocalBusiness & Finance
26 Sep 2026 • 11:09 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peniaga produk pertanian rugi lebih RM1.15 juta terpedaya 'love scam'
Mangsa berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi sosial pada 17 Julai lalu. - Gambar hiasan

KUANTAN - Seorang pekebun dan peniaga produk pertanian mengalami kerugian lebih RM1.15 juta, selepas terperdaya dengan sindiket penipuan cinta atau love scam.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata mangsa, wanita berusia 50 tahun, berkenalan dengan seorang individu dikenali sebagai Siew Gui Lim @ Jason melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Julai, sebelum hubungan mereka menjadi semakin rapat.

"Suspek kemudian menyamar sebagai pengarah perunding keselamatan siber dan menawarkan pelaburan emas dengan menjanjikan keuntungan kepada mangsa.

"Selepas mangsa membuat bayaran berkaitan pelaburan berkenaan, suspek memperkenalkan pula satu platform bernama ‘Veniec Lottery’ yang didakwa sebagai usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. 

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dipujuk membuat beberapa deposit bagi mendapatkan keuntungan dan bonus, sebelum melakukan pelbagai transaksi ke tujuh akaun bank berjumlah RM1,150,034.70 membabitkan wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga.

"Bagaimanapun, mangsa gagal mengeluarkan wang berkenaan sebelum menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan,” katanya serta menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Azry Akmar menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan individu yang menggunakan hubungan persahabatan atau hubungan istimewa untuk memujuk mangsa membuat pelaburan atau menyerahkan wang.

Beliau berkata, orang ramai disaran membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule, sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

"Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 atau membuat laporan polis,” katanya. - Bernama 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved