Pekerja Aeon Mall Kumamoto maut selepas diarah masuk semula

4 Aug 2026 • 3:04 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Pekerja Aeon Mall Kumamoto maut selepas diarah masuk semula

Dua pekerja Aeon Mall Kumamoto maut selepas diarahkan majikan masuk semula ke bangunan untuk menyelamatkan wang tunai, susulan letupan berikutan gempa bumi.

TOKYO: Dua wanita yang maut dalam letupan di sebuah pusat beli-belah Aeon di Wilayah Kumamoto, barat daya Jepun, pada asalnya telah berjaya dipindahkan selepas gempa bumi kuat melanda, namun diarahkan masuk semula ke dalam bangunan untuk menyelamatkan wang tunai, lapor Xinhua.

Pengendali rangkaian kedai serbaneka Habita pada Isnin mengakui telah mengeluarkan arahan itu. Syarikat berkenaan turut memohon maaf kepada keluarga mangsa dan menyerahkan laporan bertulis mengenai kejadian tersebut.

Selepas gempa bumi berukuran 7.1 pada Selasa, yang mencatatkan skala tujuh iaitu paras tertinggi pada skala intensiti seismik Jepun, letupan dahsyat melanda bangunan Aeon Mall Kumamoto di Pekan Kashima, mengorbankan tujuh orang termasuk dua pekerja berkenaan.

Kedua-dua mangsa, termasuk seorang wanita berusia 22 tahun, pada mulanya telah dipindahkan dari pusat beli-belah itu selepas gempa kuat berlaku, namun diarahkan kembali ke dalam bangunan untuk menyimpan wang tunai ke dalam peti besi.

Pengurus jualan Habita yang berpangkalan di Kumamoto, Koji Yuse, 64, memberitahu pemberita pada petang Isnin bahawa beliau telah mengarahkan pengurus kedai supaya meminta kedua-dua pekerja itu masuk semula ke dalam bangunan dan memindahkan hasil jualan hari berkenaan dari kedai di tingkat dua ke peti besi di tingkat satu.

“Saya fikir arahan itu tidak wajar. Saya amat kesal,” kata Yuse.

Kerajaan Wilayah Kumamoto memaklumkan bahawa setakat pagi Selasa, seramai 36 orang disahkan maut secara langsung akibat gempa bumi itu, manakala dua lagi kematian masih dalam siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved