Pekerja kilang tak mengaku memandu bawah pengaruh alkohol

LocalPolitics
5 May 2026 • 7:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pekerja kilang tak mengaku memandu bawah pengaruh alkohol
Tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Selasa.

MELAKA - Pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Selasa atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol, Februari lalu.

Tertuduh, Raymond Kay Chuan Hock,51, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu kereta dengan kadar kandungan alcohol dalam badannya sebanyak 88 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) darah, iaitu melebihi tahap yang dibenarkan 50mg per 100ml darah iaitu lebih 38mg.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Februari lalu, sekitar jam 4.09 pagi di Jalan Bukit Senjuang, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengankutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 45A (1) akta sama (Pindaan) 2020.

Jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM10,000 hingga RM30,000, penjara sehingga dua tahun, dan hilang kelayakan lesen memandu selama sekurang-kurangnya dua tahun dari tarikh sabitan.

Pegawai Pendakwa Nur Zaidah Muhamad Zailani mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab Malek mewakili tertuduh merayu kadar itu dikurangkan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan 9 Jun depan bagi tarikh sebutan semula kes.