MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang pengarah sebuah agensi kerajaan bersama seorang pengurus syarikat wanita direman lima hari bermula Selasa oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini selepas disyaki mengemukakan dokumen tuntutan palsu dianggarkan berjumlah RM15,000 tahun lalu.
Perintah reman sehingga Sabtu itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kedua-dua wanita berusia 41 dan 43 tahun itu dipercayai terlibat mengemukakan dokumen palsu berkaitan perkhidmatan serta pembekalan pada Disember lalu.
**media[3510925]**
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025 dan ketika itu suspek yang kini berjawatan pengarah merupakan timbalan pengarah.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah mengemukakan tiga invois pembekalan makan minum dan pembelian am dalam sistem ePerolehan bagi tahun kewangan 2025 sedangkan pembekalan dan pembelian tersebut tidak pernah dilaksanakan sebagaimana dalam permohonan,” katanya.
Difahamkan, penjawat awam berkenaan ditahan pada jam 7.10 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka, manakala kontraktor wanita itu ditahan kira-kira sejam lebih awal iaitu pada jam 6.10 petang di lokasi sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu.
Terdahulu kedua-dua OKT itu tiba di mahkamah jam 9.10 pagi kenderaan khas SPRM dengan berpakaian lokap serta bergari.






