Pekerja landskap MDPT terkejut jumpa bom lama

23 Sep 2026 • 4:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pekerja landskap MDPT terkejut jumpa bom lama

PADANG TERAP: Seorang pekerja landskap Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) terkejut apabila menemui sebutir bom lama atau unexploded ordinance (UXO) jenis mortar di Taman Rekreasi Mahawangsa, di sini hari ini.

Objek itu dijumpai oleh kakitangan berusia 30-an bersama dua rakan sekerjanya ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Mohd Anuar Junoh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan objek disyaki bom itu pada pukul 11.04 pagi.

“Pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati objek berkenaan ialah sebutir UXO jenis mortar berukuran kira-kira 60 milimeter dan dalam keadaan berkarat,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, objek itu dijumpai ketika pekerja terbabit sedang membersihkan pokok dan membuang lalang di satu petak tanaman berhampiran sebuah kedai buah yang berhadapan kediaman rasmi pegawai daerah.

“Petak tanaman itu digunakan untuk tanaman hiasan pokok cordyline bersama rubrum purple sejak lima tahun lalu dan semasa proses mencabut dan mencungkil rumpun lalang, objek berbentuk bom itu terkeluar dari tanah,” ujarnya.

Tambahnya, bom berkenaan akan dimusnahkan di kuari Yiked, Jalan UUM-Sintok/Padang Sanai, dekat sini.

Sementara itu, pekerja landskap terbabit yang enggan dikenali berkata, dia menemui bom lama itu ketika sedang membersihkan kawasan tanaman di situ.

“Bila dah selesai merumput, saya mula cangkul  kawasan itu dan sebelum nak cangkul kali kedua, saya ternampak objek seperti bom.

“Saya terus memaklumkan tentang penemuan objek itu kepada rakan sekerja dan pada mulanya mereka sangka ia bom mainan. Bila tengok lebih dekat, ia memang bom lama sebelum kami menjauhi kawasan itu dan menghubungi polis,” katanya. – UTUSAN

The post Pekerja landskap MDPT terkejut jumpa bom lama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved