Bom lama jenis UXO Mortar ditemui dalam landskap taman rekreasi

23 Sep 2026 • 4:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bom lama jenis UXO Mortar ditemui dalam landskap taman rekreasi
Bom lama jenis UXO Mortar ditemui dalam Lanskap Taman Rekreasi Mahawangsa Kuala Nerang.

KUALA NERANG – Sebutir bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) mortar berukuran kira-kira 60 milimeter (mm) ditemui oleh pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di Taman Rekreasi Mahawangsa di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Mohd Anuar Junoh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan objek berkenaan kira-kira jam 11 pagi menerusi panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengesyaki objek tersebut ialah bom lama berdasarkan bentuk fizikalnya.

Menurut beliau, lokasi penemuan dikenal pasti berhampiran Kedai Pak Yob Buah, berhadapan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah.

“Pengadu merupakan Pembantu Khidmat Am Unit Landskap Majlis Daerah Padang Terap yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kawasan landskap bersama dua lagi rakan.

“Ketika membersihkan pokok dan mencabut lalang di sebuah planter box, mereka menemui satu objek menyerupai bom yang berada di kawasan tanaman tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Anuar berkata, planter box berkenaan digunakan untuk menanam pokok hiasan jenis cordyline bersama lalang rubrum purple sejak kira-kira empat atau lima tahun lalu dan dipercayai diusahakan oleh Bahagian Landskap Majlis Daerah Padang Terap.

Menurutnya, objek berkenaan ditemui selepas pekerja mencabut dan mencungkil rumpun lalang yang tumbuh di kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati objek itu ialah sebutir UXO jenis mortar berukuran kira-kira 60mm dalam keadaan berkarat.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian. Bom tersebut kemudian diserahkan kepada UPB IPK Kedah untuk tindakan pemusnahan di sebuah kuari di Jalan UUM Sintok-Padang Sanai,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan kawasan tersebut berada dalam keadaan selamat selepas pemeriksaan dijalankan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved