
KUALA NERANG – Seorang pekerja landskap terkejut apabila menemui sebutir bom lama atau unexploded ordinance (UXO) jenis mortar ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Taman Rekreasi Mahawangsa, di sini hari ini.
Objek itu dijumpai oleh Pembantu Khidmat Am Unit Landskap Majlis Daerah Padang Terap bersama dua rakan sekerjanya.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd Anuar Junoh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan objek disyaki bom itu pada pukul 11.04 pagi tadi.
“Pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati objek berkenaan ialah sebutir UXO jenis mortar berukuran kira-kira 60 milimeter dan dalam keadaan berkarat,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, objek tersebut dijumpai ketika pekerja terbabit sedang membersihkan pokok dan membuang lalang di satu ‘planter box’ atau petak tanaman berhampiran sebuah kedai buah, berhadapan kediaman rasmi pegawai daerah.
“Semasa proses mencabut dan mencungkil rumpun lalang, objek berbentuk bom itu terkeluar dari tanah,” ujarnya.
Tambahnya, bom berkenaan diserahkan kepada UPB IPK untuk tindakan pemusnahan di kuari Yiked, Jalan UUM-Sintok/Padang Sanai, dekat sini. – KOSMO! ONLINE
The post Pekerja landskap terkejut jumpa bom lama appeared first on Kosmo Online.



