KOTA KINABALU - Seorang pekerja warga asing berusia 29 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang lampu di tepi jalan di Kampung Malinja, Nabawan pada Selasa.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.49 pagi.
"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan yang dianggotai enam anggota tiba di lokasi pada 11.56 pagi, kira-kira empat kilometer dari balai.
"Komander Operasi melaporkan terdapat seorang mangsa lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang lampu di tepi jalan," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dari kawasan berbahaya sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," tambahnya
Operasi yang turut disertai Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan pada 12.15 tengah hari selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat. - Bernama





