Pekin Kasihan Lihat Isterinya, Mona Allen Bertarung Nyawa Lahirkan Anak Merdeka

Family & Parenting
1 Sep 2022 • 12:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Pelakon dan pengarah, Mohd Iznan Ibrahim atau Pekin mengakui bahawa dirinya berasa sangat gembira apabila isteri tercintanya, Mona Allen selamat melahirkan anak lelaki pertama pada sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-65 pada 31 Ogos 2022. 

“Tapi, pada waktu yang sama saya kasihan melihat Mona waktu melahirkan anak kami. Saya berada bersama sepanjang proses itu. 

“Dari awal keluar, saya melihat proses itu. Doktor juga bagi kebenaran untuk saya memotong tali pusat bayi, cucikan bayi serta azankan dia di telinga. 

“Bila melihat keadaan Mona melahirkan anak, saya rasa macam tidak apalah. Kalau anak seorang pun syukurlah. Sebab saya kasihan melihat keadaan dirinya itu,” kata Pekin sewaktu dihubungi Getaran. 

Menurut Pekin, Mona Allen selamat melahirkan Petra Pekin di Hospital Andorra, sekitar jam 2.39 pagi tadi. Bayi seberat 2.7kilogram itu, dilahirkan secara normal.

image is not available
Tangkapan layar Instagram Story Mona Allen

“Alhamdulillah, baik Mona mahu pun bayi kami, kedua-duanya berada di dalam keadaan sihat,” katanya. 

Jelas Pekin lagi, dia sebenarnya tidak menyangka Mona akan melahirkan bayi mereka itu dengan cepat sekali. 

“Paling tidak disangka bila bayi kami dilahirkan pada Hari Merdeka. Rasa macam tidak percaya pula ia baby merdeka. 

“Kalau hendak diikutkan tempoh bersalin Mona lambat lagi. Tapi, malam semalam iaitu sekitar jam 9.00, saya terpaksa hantar dia ke hospital. 

“Kemudiaan doktor memberitahu bahawa dah sampai masanya untuk Mona bersalin. Padahal sebelum, tak nampak pun sebarang tanda-tanda dia akan beranak. Dia (Mona) siap boleh sembang-sembang dan gelak-gelak. 

“Agaknya baby tu tak sabar nak keluar kot, sebab nak laungkan merdeka,” katanya. 

image is not available
Tangkapan layar Instagram Story Pekin Ibrahim

Tentang perasaan kali pertama menjadi seorang bapa, Pekin akui bahawa dia masih belum mampu untuk gembarkan perasaannya itu dengan tepat. 

“Sebab ia masih terlalu baru. Tapi, saya akui saya berasa terharu bercampur  gembira pada waktu yang sama,” katanya. 

Terdahulu, Mona telah memuat naik posting Instagram Story bahawa dia telah selamat melahirkan bayi sulungnya itu. 

“Alhamdulillah, terima kasih atas doa anda. Mummy dan baby selamat. Baby Merdeka lahir pada pukul 2.39 pagi tadi,” tulis Mona menerusi pautan IG story.

Selepas pemberitahuan itu, Mona telah menerima pelbagai ucapan tahniah daripada rakan-rakan selebriti.  – Getaran, 1 September 2022