
GEORGE TOWN – Dewan Perniagaan Usahawan Progresif Malaysia (MPE) memperluas jaringan perniagaan antarabangsa menerusi pemeteraian beberapa perjanjian kerjasama strategik dengan persatuan perniagaan di Qingdao, China.
Kerjasama itu membuka peluang kepada syarikat tempatan meneroka pasaran China dalam sektor makanan, perdagangan antarabangsa, bangunan pintar dan digital, selain kebudayaan serta pelancongan.
Ketua Delegasinya, Tan Khim Siang berkata, usaha itu turut menjadi sebahagian daripada persiapan memperluas jaringan antarabangsa menjelang penganjuran Sidang Kemuncak Usahawan Muda ASEAN+3 2027 dan Ekspo Teknologi Makanan dan Perdagangan Antarabangsa di Pulau Pinang.
Menurutnya, antara organisasi yang terlibat ialah Persatuan Industri Makanan Qingdao, Persatuan Bangunan Pintar Qingdao, Persekutuan Ekonomi Swasta dan Perdagangan Qingdao serta Dewan Perniagaan Perusahaan Import dan Eksport Qingdao.
“Delegasi MPE mengadakan perbincangan dan memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Persatuan Industri Makanan Qingdao.
“Pertemuan turut diadakan dengan Persatuan Bangunan Pintar Qingdao bagi membincangkan peluang kerjasama dalam pertukaran kebudayaan, perdagangan dan pemadanan sumber perniagaan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, jaringan itu dapat membantu syarikat Malaysia mengenal pasti bakal pembeli, pembekal, pengedar dan rakan projek mengikut keperluan perniagaan masing-masing.
Malah katanya, syarikat tempatan turut berpeluang mengenal pasti jenama dari China yang berminat memasuki pasaran Malaysia dan negara ASEAN menerusi kerjasama pengedaran, pemasaran serta perwakilan perniagaan.
“Dalam sektor bangunan pintar, kerjasama ini berpotensi menghubungkan syarikat pembinaan, kontraktor mekanikal dan elektrikal, penyepadu sistem serta pengurusan hartanah bagi meneroka teknologi bangunan pintar dan pendigitalan pembinaan.
“Bidang lain yang boleh diterokai termasuk pengurusan maklumat projek serta teknologi operasi dan penyelenggaraan fasiliti, tertakluk kepada perbincangan lanjut antara syarikat terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, MPE turut berhasrat memperluas kerjasama dalam bidang pendigitalan, pertukaran kebudayaan dan pelancongan bagi membuka lebih banyak peluang kepada syarikat teknologi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengusaha pelancongan tempatan.
“Hubungan dengan rakan strategik di China akan diteruskan bagi menggalakkan penyertaan delegasi perniagaan, pempamer, pembeli dan syarikat berpotensi dalam sidang kemuncak serta ekspo yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada 2027,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE
The post MPE buka jaringan industri, meterai perjanjian China-Malaysia appeared first on Kosmo Online.




