Pelabur asing jual bersih RM443.8 juta ekuiti Malaysia bagi minggu kelapan berturut-turut
diyana
12/06/2023 - 09:23
KUALA LUMPUR 12 Jun - Pelabur asing terus menjual bersih ekuiti Malaysia berjumlah RM443.8 juta bagi minggu kelapan berturut-turut dalam minggu dagangan dipendekkan sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata kekerapan jualan bersih mingguan kali terakhir dilihat pada Mei 2021, yang mungkin telah diburukkan lagi oleh kemerosotan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) sebanyak 3% tahun ke tahun pada April 2023.
Sama seperti minggu sebelumnya, pelabur asing telah menjual bersih setiap hari minggu lalu dengan mencatatkan sejumlah RM99.1 juta pada Selasa diikuti RM98.2 juta (Rabu), RM159.9 juta (Khamis) dan RM86.7 juta (Jumaat).
“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih pelabur asing pada minggu lepas adalah pengangkutan dan logistik (RM37 juta), pembinaan (RM12.2 juta) dan teknologi (RM300,000).
“Manakala sektor dengan aliran keluar tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM102.5 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM78.2 juta) dan perindustrian (RM65.3 juta),” katanya dalam nota hari ini.
Setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih ekuiti Malaysia selama 17 daripada 23 minggu yang berjumlah RM3.4 bilion.
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih dengan jumlah RM333.7 juta dengan membeli bersih setiap hari minggu lalu, sebahagian besarnya pada Khamis dan Jumaat masing-masing pada RM151 juta dan RM100 juta.
Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih selama 17 daripada 23 minggu dengan sejumlah RM3.12 bilion.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan terus membeli bersih bagi minggu ketiga berturut-turut pada RM110.2 juta, di mana mereka hanya menjual bersih RM13.3 juta pada Jumaat tetapi merupakan pembeli bersih untuk hari dagangan yang lain.
Setakat ini, pelabur runcit telah menjadi pembeli bersih selama 12 daripada 23 minggu dengan jumlah RM283.6 juta.
Dari segi pergerakan pelabur, purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan menyusut dalam kalangan pelabur runcit sebanyak 14.9% diikuti pelabur institusi tempatan (19.9%) dan pelabur asing (55.2%). -DagangNews.com


