Pelabur asing jual RM1.6 bilion saham di Bursa Malaysia pada September 2026 - CGS International

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabur asing jual RM1.6 bilion saham di Bursa Malaysia pada September 2026 - CGS International Image from: Pelabur asing jual RM1.6 bilion saham di Bursa Malaysia pada September 2026 - CGS International johardy06/10/2026 - 10:30 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt - Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih ekuiti Malaysia pada September 2026 dengan aliran keluar bersih RM1.6 bilion, susut 17.1% berbanding RM2 bilion pada Ogos, menurut CGS International.

 

Aktiviti dagangan kasar meningkat bagi kedua-dua belian dan jualan sepanjang bulan itu, namun pembelian asing meningkat lebih pantas sebanyak 12.1% bulan ke bulan kepada RM22.1 bilion berbanding kenaikan 9.5% dalam jualan kepada RM23.7 bilion.

 

Bagaimanapun, tekanan jualan semakin meningkat menjelang akhir September apabila aliran keluar bersih terkumpul pelabur asing melebihi RM1 bilion antara 23 hingga 30 September.

 

Peningkatan jualan pada penghujung bulan itu berlaku ketika Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan.

 

Perkembangan itu menjadikan jualan bersih terkumpul pelabur asing sebanyak RM6.5 bilion bagi sembilan bulan pertama 2026.

 

Jumlah aliran keluar sejak 2024 pula mencecah RM33.1 bilion, manakala pegangan asing dalam ekuiti Malaysia susut ke satu lagi paras terendah baharu sebanyak 17.8% pada September.

 

Pegangan asing susut kepada 17.8%

Pelabur institusi tempatan turut mengambil pendekatan lebih berhati-hati pada September apabila pembelian bersih mereka merosot mendadak kepada RM206 juta daripada RM1.6 bilion pada bulan sebelumnya.

 

Pelabur runcit tempatan pula meningkatkan pembelian bersih kepada RM1.4 bilion daripada RM375 juta pada Ogos, paras bulanan tertinggi sejak Januari 2025.

 

FBM KLCI merosot 4.3% pada September untuk ditutup pada 1,651 mata, sekali gus menyebabkan prestasinya sejak awal tahun bertukar negatif.

 

Prestasi itu lebih lemah berbanding Indeks MSCI All Country Asia ex-Japan yang susut 0.7% bulan ke bulan dan Indeks MSCI Emerging Markets yang turun 1%.

 

Pasaran global secara keseluruhannya berdepan bulan yang mencabar, dengan hanya KOSPI Korea Selatan yang meningkat 0.7% dan Nikkei Jepun naik 0.5%.

 

Dalam kalangan pasaran MIST iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand, Straits Times Index Singapura mencatat prestasi terbaik dengan penurunan 0.4%, sekali gus menamatkan kenaikan selama lima bulan berturut-turut.

 

Tenaga dan pembinaan mengatasi kelemahan pasaran

SET Index Thailand pula susut 1.8% walaupun Fitch Ratings pada 18 September menyemak semula prospek negara itu kepada “stabil” daripada negatif, dengan menyatakan peningkatan keyakinan terhadap penstabilan hutang.

 

FBM KLCI yang merosot 4.3% dan Jakarta Composite Index Indonesia yang jatuh 6.9% merupakan dua pasaran berprestasi paling lemah dalam kalangan negara MIST.

 

Sentimen terhadap pasaran Indonesia merosot pada pertengahan bulan susulan kebimbangan fiskal selepas kemas kini belanjawan menunjukkan defisit sebanyak Rp240.1 trilion sehingga Ogos.

 

Kelemahan turut berlaku secara meluas di Bursa Malaysia apabila hanya empat daripada 13 indeks sektor mencatat kenaikan pada September.

 

3 sektor berprestasi terbaik

Tiga sektor berprestasi terbaik ialah tenaga yang meningkat 8.6%, pembinaan 7.1% dan utiliti 2.9%. Tiga sektor berprestasi paling lemah pula ialah hartanah yang susut 7.5%, pengguna 6.5% dan kewangan 5.1%.

 

Kelemahan itu turut ketara dalam kalangan konstituen FBM KLCI apabila hanya lima daripada 30 saham mencatat kenaikan.

 

Gamuda menjadi saham berprestasi terbaik dengan kenaikan 14.9%, diikuti Telekom Malaysia sebanyak 3.8% dan YTL Power sebanyak 2.8%.

 

IOI Properties pula mencatat kejatuhan terbesar sebanyak 14.6%, diikuti Sunway yang susut 13.8% dan RHB Bank 13.6%. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved