Pelabur pusat data wajib beri akses teknologi kepada rakyat

LocalTechnology
15 Oct 2026 • 1:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelabur pusat data wajib beri akses teknologi kepada rakyat

KUALA LUMPUR: Pelabur syarikat teknologi dalam pembangunan pusat data di Malaysia perlu memberi akses kepada rakyat tempatan termasuk universiti awam bagi membangunkan kepakaran dan keupayaan teknologi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi memastikan negara bukan sekadar menjadi lokasi operasi pusat data milik syarikat asing, malah mampu membangunkan teknologi sendiri dalam jangka panjang.

Katanya, antara pemain teknologi global yang melabur dalam sektor berkenaan ialah Amazon Web Services (AWS), Microsoft, Google, Oracle, ByteDance dan Alibaba.

“Mereka membawa teknologi seperti pengkomputeran awan, perkhidmatan kecerdasan buatan (AI), AI generatif, AI ejen, penyimpanan data, keselamatan siber dan e-dagang. Semua ini merupakan teknologi dan perkhidmatan yang kita perlukan.

“Tetapi kita mahu rakyat kita juga mendapat akses kepada teknologi tersebut. Kita tidak mahu mereka membina pusat data di sini tetapi langsung tidak memikirkan keperluan negara kita, sebaliknya memberikan keutamaan kepada pelanggan di luar negara.

“Kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku. Kita perlu memastikan mereka bekerjasama dengan universiti tempatan dan membangunkan teknologi supaya suatu hari nanti rakyat kita sendiri mampu membangunkannya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Johari turut memaklumkan kerajaan mengasingkan keperluan bekalan elektrik pusat data daripada sistem bekalan sedia ada bagi pengguna domestik dan industri lain bagi memastikan operasi sektor berkenaan tidak melibatkan elemen subsidi.

Katanya, langkah itu penting memandangkan pusat data di Malaysia bukan sahaja menyediakan perkhidmatan untuk kegunaan domestik, malah turut memenuhi keperluan pelabur luar negara sebagai sebahagian daripada model perniagaan mereka.

“Sejak saya mengambil alih kementerian, saya telah mengubah dasar supaya bekalan elektrik bagi pusat data dibezakan daripada bekalan elektrik biasa yang kita peroleh daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk pengguna domestik dan industri yang tidak berkaitan dengan pusat data.

“Kita mahu bekalan elektrik itu diasingkan daripada keperluan pusat data. Ini kerana dalam konteks pusat data, kemudahan tersebut bukan sahaja dibina untuk kegunaan dalam negara, tetapi juga untuk kegunaan luar negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) meminta menteri menjelaskan mekanisme mengukur nilai tambah bersih dihasilkan oleh setiap pusat data selepas mengambil kira penggunaan elektrik, air, tanah, infrastruktur, insentif fiskal dan bukan teknologi, pekerja, kandungan tempatan dan kos peluang sumber negara atas RM385.7 bilion pelaburan pusat data diluluskan sejak 2021.

Katanya lagi, mengasingkan keperluan bekalan elektrik itu akan dikawal di peringkat pusat termasuk Suruhanjaya Tenaga (ST), Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan (MoF).

“Kita tidak mahu pusat data menggunakan bekalan elektrik sedia ada. Sebagai contoh, jika TNB mempunyai kapasiti 28,000 megawatt, penggunaan oleh sektor industri boleh berubah antara 22,000 hingga 26,000 megawatt.

“Baki kapasiti itu merupakan margin simpanan untuk industri, pengguna domestik dan semua aktiviti ekonomi dalam negara, tidak termasuk pusat data. Oleh itu, keperluan tenaga pusat data perlu diasingkan.

“Kita mahu apabila pelabur mengemukakan permohonan, perkara ini menjadi antara syarat yang dirundingkan. Malaysia tidak sepatutnya berunding dengan pelabur sekiranya mereka tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan.” katanya.

Jelas Johari lagi, langkah tersebut penting kerana pelabur berkenaan akan mengakses data negara sebagai sebahagian daripada model perniagaan mereka.

“Oleh sebab itu, kita mengasingkan keperluan penjanaan tenaga untuk pusat data daripada sistem bekalan elektrik biasa yang telah kita gunakan bersama TNB selama berpuluh-puluh tahun.

“Kita mahu memastikan bahawa bekalan elektrik untuk pusat data tidak mempunyai elemen subsidi. Sekiranya penjanaan elektrik menggunakan gas, harga pasaran gas akan menjadi faktor yang menentukan kos bekalan elektrik bagi keperluan pusat data,” katanya lagi. – UTUSAN

The post Pelabur pusat data wajib beri akses teknologi kepada rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved