sarah15/10/2026 - 14:14 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt - Pelabur pusat data di Malaysia perlu menanggung sendiri kos menaik taraf infrastruktur penghantaran elektrik yang diperlukan bagi projek masing-masing, bukannya memindahkan beban pelaburan itu kepada pengguna tempatan atau industri sedia ada.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kos pembangunan infrastruktur berkenaan perlu dimasukkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan projek pelabur, manakala Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan memberikan nasihat mengenai keperluan naik taraf yang perlu dilaksanakan.
Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan kemasukan pelaburan pusat data tidak menjejaskan aktiviti ekonomi sedia ada, khususnya dari segi kos dan ketersediaan bekalan elektrik.
"Ini adalah strategi kita untuk memastikan aktiviti ekonomi yang sudah wujud sebelum kedatangan pusat data tidak terjejas," katanya ketika menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, kerajaan turut menetapkan bahawa pengendali pusat data perlu membayar berdasarkan kapasiti elektrik yang telah diperuntukkan kepada mereka, walaupun penggunaan sebenar lebih rendah daripada jumlah yang dipohon.
Sebagai contoh, sekiranya pengendali memperoleh peruntukan kapasiti sebanyak 200 megawatt (MW) tetapi hanya menggunakan 100MW selepas pusat data beroperasi, baki 100MW itu tetap akan dikenakan bayaran kerana kapasiti berkenaan tidak boleh disalurkan sewenang-wenangnya kepada pengguna lain.
"Baki 100MW yang tidak digunakan itu kita anggap telah digunakan dan mereka tetap perlu membayarnya. Itu dasar kita sekarang," katanya.
Beliau menjelaskan, keperluan elektrik pusat data juga perlu diasingkan daripada penggunaan isi rumah dan industri lain, tanpa subsidi, manakala kos penjanaan berasaskan gas perlu mengambil kira harga pasaran sebenar.
Tambah Johari, ketika ini sebanyak 57 pusat data menggunakan bekalan elektrik berjumlah 6,237MW yang disalurkan oleh TNB, manakala 60 projek lagi dalam perancangan dijangka memerlukan tambahan kapasiti sebanyak 11,172MW.
Dalam pada itu, kerajaan turut menetapkan sasaran minimum 30% kandungan tempatan bagi pembangunan pusat data baharu, seperti dipersetujui Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF), bagi memastikan syarikat Malaysia mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan asing.
Beliau berkata, penyertaan syarikat tempatan perlu bermula sejak peringkat pembangunan projek, termasuk penggunaan khidmat perunding, kontraktor serta penyedia perkhidmatan pembinaan, kejuruteraan dan logistik tempatan.
"Penggunaan perunding tempatan adalah antara syarat yang ditetapkan dan kita tidak membenarkan mereka menggunakan perunding asing," katanya.
Selain itu, kerajaan mahu syarikat tempatan dan universiti diberikan akses kepada kapasiti pengkomputeran pusat data bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), sekali gus meningkatkan kepakaran rakyat Malaysia dalam teknologi berkenaan.
Menyentuh penggunaan air, Johari berkata, kerajaan negeri perlu menilai rizab bekalan air masing-masing sebelum meluluskan projek pusat data, manakala pengendali diwajibkan menggunakan teknologi kitar semula air.
Beliau berkata, sumbangan sektor pusat data kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan meningkat daripada RM900 juta pada 2021 kepada RM14.1 bilion pada 2025, merangkumi aktiviti pembinaan, operasi dan perbelanjaan utiliti. - DagangNews.com






