Pelaburan AHTV Tanjung Malim baru capai 23.3% daripada sasaran RM30 bilion – MITI

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 12:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaburan AHTV Tanjung Malim baru capai 23.3% daripada sasaran RM30 bilion – MITI Image from: Pelaburan AHTV Tanjung Malim baru capai 23.3% daripada sasaran RM30 bilion – MITI sarah27/10/2026 - 12:35 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - Sebanyak RM7 bilion pelaburan telah direalisasikan bagi pembangunan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Perak, sejak 2018, daripada anggaran keseluruhan RM30 bilion yang dirancang sehingga 2035.

 

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, jumlah pelaburan yang direalisasikan sepanjang tempoh 2018 hingga 2026 itu mewakili 23.3% daripada anggaran keseluruhan pembangunan AHTV, termasuk pelaburan daripada pengeluar automotif China, Geely.

 

Beliau menjelaskan, anggaran RM30 bilion itu merangkumi pelaburan yang telah dilaksanakan, pelaburan semasa serta pembangunan yang dirancang pada masa hadapan dan bukannya jumlah yang telah direalisasikan sepenuhnya.

 

"Bagi tempoh 2018 hingga 2026, jumlah pelaburan yang telah direalisasikan adalah sebanyak RM7 bilion, iaitu 23.3% daripada jumlah pembangunan AHTV secara keseluruhan, termasuk daripada Geely," katanya di Dewan Rakyat.

 

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperincikan jumlah serta senarai projek yang telah direalisasikan daripada komitmen pelaburan Geely bernilai AS$10 bilion (RM40 bilion) di Tanjung Malim.

 

Menurut Tze Tzin, antara projek utama yang telah disiapkan sepenuhnya ialah penaiktarafan kemudahan pembuatan Proton di Tanjung Malim, termasuk peningkatan kapasiti pengeluaran, kemudahan pengecapan logam, pengecatan, pemasangan badan kenderaan serta pengeluaran enjin dan transmisi berteknologi baharu.

 

Selain itu, pembangunan ladang solar berkapasiti 12 megawatt puncak (MWp) di kawasan kilang Proton turut dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dalam operasi pembuatan.

 

Bagi tempoh 2025 hingga 2026, pembangunan dan penaiktarafan kemudahan industri turut merangkumi kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV), peningkatan keupayaan pengeluaran enjin, kemudahan pengecapan logam, pusat logistik dan gudang baharu serta makmal ujian penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

aut

 

Tenaga kerja AHTV meningkat kepada 9,300 orang

Tze Tzin berkata, perkembangan pelaburan dan pembangunan infrastruktur di AHTV turut menyaksikan jumlah tenaga kerja meningkat daripada kira-kira 2,000 orang pada 2018 kepada 9,300 orang pada 2026, dengan angka itu diunjurkan mencecah 22,800 orang menjelang 2030.

 

Pada masa sama, bilangan syarikat dalam ekosistem AHTV meningkat daripada 11 syarikat pada 2022 kepada 35 syarikat pembekal komponen dan penyedia perkhidmatan logistik, disokong kemudahan infrastruktur termasuk rangkaian jalan raya, saluran paip gas dari Bidor, liputan telekomunikasi 5G serta bekalan elektrik, air dan gentian optik.

 

Beliau berkata, pembangunan AHTV perlu terus memberi tumpuan kepada peningkatan penyertaan vendor tempatan, pengurangan kebergantungan terhadap komponen import, pemindahan teknologi serta pengembangan eksport bagi memastikan manfaat pelaburan dapat dinikmati secara lebih meluas oleh industri automotif negara.

 

Kerjasama strategik antara DRB-HICOM dan Geely bermula pada 23 Jun 2017 dengan tumpuan awal kepada pemulihan dan pembangunan semula Proton, sebelum diperluaskan kepada pembangunan AHTV yang dilancarkan secara rasmi pada 12 April 2022.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved