Pengguna AI di Malaysia miliki kuasa beli sehingga RM190 bilion setahun – Entermind

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 10:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengguna AI di Malaysia miliki kuasa beli sehingga RM190 bilion setahun – Entermind Image from: Pengguna AI di Malaysia miliki kuasa beli sehingga RM190 bilion setahun – Entermind sarah27/10/2026 - 10:55 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - Golongan pengguna yang semakin bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) untuk membuat keputusan pembelian di Malaysia dianggarkan mempunyai kuasa perbelanjaan tahunan mencecah RM190 bilion, sekali gus memberi cabaran kepada perniagaan untuk menyesuaikan strategi pemasaran dan perkhidmatan pelanggan mereka.

 

Menurut laporan kajian terbaharu firma perunding AI, Entermind bertajuk 'The Secret Lives of AI-Ready Customers', kira-kira 10 juta pengguna dewasa di Malaysia tergolong dalam kumpulan yang menjadikan AI sebagai sebahagian penting daripada proses mencari maklumat, membandingkan pilihan dan membuat keputusan pembelian.

 

Kajian terhadap 1,300 pengguna AI dewasa pada September 2026 itu mendapati 43% responden kini merujuk kepada pembantu AI terlebih dahulu apabila membuat keputusan penting, mengatasi enjin carian tradisional yang mencatatkan 31%.

 

Lebih menarik, sebanyak 41% responden mengakui pernah membuat keputusan pembelian atau kewangan berdasarkan maklumat atau cadangan AI, manakala pengguna harian AI dua kali lebih cenderung bertindak berdasarkan cadangan tersebut berbanding mereka yang menggunakan teknologi itu sekali seminggu atau kurang, masing-masing pada kadar 52% dan 26%.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Entermind, Prashant Kumar berkata, perubahan tingkah laku itu bermakna semakin banyak keputusan pengguna mengenai sesuatu jenama dibuat melalui perbualan dengan AI, tanpa penglibatan langsung syarikat berkenaan.

 

"Perbualan paling penting mengenai sesuatu jenama kini berlaku dalam ruang yang tidak disertai jenama itu sendiri. Pengguna bertanya kepada AI bank mana yang boleh dipercayai atau sekolah mana yang patut dipilih, sedangkan syarikat tidak dapat melihat perbualan tersebut.

 

"Bagaimanapun, pengguna masih membuat keputusan sendiri. Jenama yang berjaya ialah mereka yang mampu menjadikan setiap saluran interaksi, daripada fungsi carian hingga khidmat pelanggan, sama bergunanya dengan AI yang sudah dipercayai pengguna," katanya dalam kenyataan.

 

Kajian itu turut mendapati 78% responden mahu aplikasi dan laman web syarikat memudahkan proses mendapatkan maklumat serta membuat keputusan seperti yang ditawarkan pembantu AI, manakala 42% lebih gemar menggunakan kotak carian berbanding hanya 17% yang memilih navigasi melalui menu.

 

ent

 

Dari segi corak perbelanjaan, Entermind menganggarkan bahawa selepas kategori perumahan dan utiliti, sebahagian besar perbelanjaan golongan pengguna AI ini tertumpu kepada restoran dan penginapan sebanyak RM32.3 bilion, makanan dan minuman (RM29.8 bilion) serta pengangkutan (RM20.9 bilion), berdasarkan corak perbelanjaan isi rumah Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2024.

 

Penggunaan AI juga berbeza mengikut sektor, dengan 41% responden menganggap teknologi itu paling berguna untuk membandingkan pilihan dalam sektor peruncitan, 45% bagi memahami pilihan penjagaan kesihatan dan 36% untuk meneroka pilihan perjalanan.

 

Prashant berkata, banyak lembaga pengarah syarikat masih melihat AI sebagai alat mengurangkan atau mengoptimumkan kos, sedangkan hasil kajian menunjukkan teknologi itu semakin berkait rapat dengan peluang menjana pendapatan.

 

"Pengguna yang mewakili anggaran perbelanjaan tahunan RM190 bilion sudah mengubah cara mereka membuat keputusan. Perniagaan perlu berubah seiring dengan mereka atau sekadar menjadi pemerhati," katanya.

 

Laporan itu turut menekankan keperluan syarikat merapatkan jurang antara pengalaman menggunakan pembantu AI dengan perkhidmatan digital yang disediakan oleh jenama, khususnya apabila pengguna semakin mengharapkan maklumat yang cepat, jelas dan membantu mereka membuat keputusan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved