Pelaburan asing tidak boleh jejaskan peniaga kecil – PM

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 8:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelaburan asing tidak boleh jejaskan peniaga kecil – PM

ALOR SETAR – Kerajaan akan terus menarik pelaburan asing berimpak tinggi, namun pada masa sama memastikan kemasukan syarikat luar tidak menjejaskan kelangsungan peniaga kecil tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan besar khususnya dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI), komputer dan semikonduktor penting untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Kata beliau, bagaimanapun kerajaan tidak mahu kemasukan syarikat asing sehingga menyebabkan peniaga kecil tempatan seperti pengusaha kedai makan, kedai kopi dan kedai gunting rambut terjejas.

“Saya tak mahu ganggu peniaga-peniaga kecil. Itulah sebabnya saya beritahu Perdana Menteri China, Li Qiang, saya kata boleh tak kita bagi kerjasama, kurangkan sikit.

“Yang syarikat besar tak apalah, kita tak tahu nak bedah mata. Saya kata tadi, yang menggunakan AI, teknologi baharu, bagi orang celik tak apa, saya setuju juga. Kita belanja dan labur sikit pun tak apa.

“Tetapi untuk kedai kopi, kedai rambut, saya tak mahulah orang asing. Kita boleh buat sendiri, kita bagi jalanlah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah di Dewan Kompleks Persekutuan Muadzam Shah, di sini hari ini.

Anwar berkata, pendirian itu tidak bermaksud Malaysia menolak hubungan dagang dan pelaburan dengan negara lain, sebaliknya kerjasama tersebut perlu memberi manfaat kepada rakyat.

“Walaupun saya bawa pelaburan asing, tapi saya tak mahu ganggu peniaga-peniaga kecil,” ujarnya.

Menurut beliau, China kini mempunyai kemajuan teknologi dan AI yang tinggi, malah terdapat teknologi baharu yang berpotensi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Tambahnya, perkembangan teknologi berkenaan menunjukkan bagaimana kemajuan AI dan teknologi tinggi boleh dimanfaatkan secara terus untuk membantu rakyat. – KOSMO! ONLINE

The post Pelaburan asing tidak boleh jejaskan peniaga kecil – PM appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved