
KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu ghairah untuk mengaut pulangan kononnya sehingga RM25,000 dengan hanya bermodalkan RM450, seorang suri rumah kerugian RM87,975.04 akibat diperdaya skim pelaburan yang tidak wujud.
Tambah parah, wanita warga emas berusia 63 tahun tersebut sanggup menggadai barang kemasnya semata-mata untuk menyertai skim pelaburan palsu berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, suri rumah tersebut tertarik dengan iklan skim pelaburan saham tersebut yang dilihatnya di laman Facebook pada pukul 10 pagi, 3 Oktober lalu.
“Mangsa kemudian menekan pautan diberikan sebelum telah dihubungkan dengan dua individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp yang mendakwa kononnya mereka merupakan konsultan skim pelaburan itu.
“Dia semakin tertarik apabila dimaklumkan kononnya skim pelaburan saham terbabit menawarkan pulangan RM25,000 dalam masa empat jam dengan hanya bermodalkan RM450,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, wanita warga emas berkenaan yang tertarik telah menyertai skim pelaburan dengan mengeluarkan modal RM450.
Beliau berkata, suri rumah tersebut seterusnya membuat pembayaran tambahan kononnya untuk kos wang proses, guaman dan bayaran tandatangan ketua pegawai eksekutif skim pelaburan tersebut.
“Mangsa juga diarahkan membayar kononnya kos kesilapan nombor TAC (kod kebenaran transaksi) sebanyak enam kali sebelum akhirnya menyedari dirinya tertipu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Gadai barang kemas lebih RM87,000, masuk pelaburan palsu appeared first on Kosmo Online.




