
PETALING JAYA – Pasaran hospitaliti di negara ini semakin berkembang jauh melepasi sasaran awal ekoran pandemik lalu yang mana kadar penginapan hotel mampu mencatat kadar lebih daripada 70 peratus.
Malah kadar purata harian meningkat secara signifikan, yang mana hotel lima bintang boleh merekodkan nilai tempahan sehingga RM719 semalam.
Momentum peningkatan ini terus berlanjutan dan bersandarkan kajian daripada JLL, segmen hotel mewah mencatatkan RevPAR (Revenue Per Available Room / Hasil Sebilik Tersedia) sebanyak 22.7 peratus lebih tinggi berbanding paras 2019 pada tahun 2025, manakala prestasi pada suku pertama 2026 kekal berada dalam trajektori meningkat.
Momentum peningkatan semakin memecut pada awal tahun 2026, dengan RevPAR terkumpul sehingga bulan Mac mencatatkan trend 5.7 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024.
Petunjuk-petunjuk ini menyerlahkan persekitaran yang semakin menarik bagi pelabur yang mencari aset hospitaliti berkedudukan strategik.
“Bagi pelabur, hartanah empat dan lima bintang sedia ada di lokasi strategik menawarkan peluang untuk membolehkan mereka menyertai secara aktif dalam sektor pelancongan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan serantau.
Bagi pelabur, ini mewujudkan pelbagai peluang menerusi pelbagai strategi iaitu daripada pengambilalihan hotel sedia ada kepada penyesuaian semula kedudukan hartanah, menaik taraf aset, sehinggalah kepada menjalin kerjasama dengan pengendali yang berpengalaman.
Bersandarkan kepada faktor tersebut, sebuah kumpulan hotel antarabangsa, Minor Hotels bakal melancarkan sebuah hotel terbaharunya iaitu Avani Kota Kinabalu yang akan beroperasi pada suku pertama tahun depan.
Projek ini adalah sebahagian daripada pembangunan bersepadu The Logg Luyang oleh KTI Landmark yang akan membawa jenama Avani bertapak di Sabah sekali gus mengukuhkan kedudukan Kumpulan tersebut di negara ini.
Di Malaysia, Avani Kota Kinabalu akan melengkapkan portfolio sedia adanya apabila hotel yang dioperasikan, iaitu Anantara Desaru Coast & Villas di Johor mendapat tempat dalam industri perhotelan di Selatan yang menarik kemasukan pelancong asing khususnya dari Singapura berkunjung ke negara ini.
Pengurus Besar Avani Kota Kinabalu, Winston Gong berkata, Kota Kinabalu kini menjadi destinasi tumpuan pelancong yang sedang berkembang pesat untuk memenuhi keperluan pasaran korporat, komersial utama di Timur Malaysia.
“Malah ia juga menjadi pintu masuk ke kepulauan Borneo, jadi ini akan menawarkan peluang dan permintaan yang kukuh terhadap hotel bertaraf premium yang terdapat di Kota Kinabalu.
“Kumpulan sasaran ini mahukan hab untuk memenuhi keperluan perniagaan mereka, riadah dan acara sosial yang fleksibel, jadi kami bersedia untuk menawarkan pengalaman penginapan yang unik kepada mereka.
“Ini juga akan menawarkan banyak peluang perniagaan dan juga pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Hotel gaya hidup yang terletak di lokasi strategik di Kota Kinabalu itu memiliki 352 bilik yang menampilkan sentuhan Shah Architect, seni bina landskap oleh SD2 dan rekaan dalaman oleh INdulge.
Terdapat lima premis untuk pengunjung menjamu selera di hotel berkenaan antaranya adalah All Day Dining, Lobby Lounge & The Pantry, Seen Restaurant & Bar serta restoran Cina kontemporari. -KOSMO! ONLINE
The post Pelaburan berpotensi teroka projek premium, Minor pilih Kota Kinabalu appeared first on Kosmo Digital.


