Pelaburan BRICS ke Malaysia capai RM8.54 bilion pada suku pertama 2025 - MITI

28/08/2025 - 12:15
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah meluluskan sebanyak RM8.54 bilion jumlah pelaburan dari negara-negara BRICS bagi suku pertama 2025 (1Q25).
Berdasarkan data daripada “sumber muktamad”, aliran masuk pelaburan tersebut datang terutamanya dari China, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Afrika Selatan.
“Daripada jumlah itu, RM8.23 bilion atau 96.37% adalah pelaburan dalam sektor pembuatan, manakala RM270 juta atau 3.63% adalah dalam sektor perkhidmatan.
“Pelaburan berkenaan dijangka mewujudkan 3,990 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan 2,837 pekerjaan dalam sektor perkhidmatan antara Januari hingga Mac 2025,” kata MITI dalam jawapan bertulis di Parlimen untuk menjawab soalan Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai jumlah sebenar pelaburan antarabangsa yang masuk ke Malaysia selepas negara menyertai blok BRICS pada awal tahun.
MITI menegaskan, pelaburan daripada negara BRICS bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pelabur, malah menyerlahkan potensi besar dalam sektor strategik termasuk teknologi hijau, ekonomi digital dan infrastruktur.
“Penyertaan Malaysia dalam BRICS juga memberi nilai tambah dalam bentuk pengiktirafan terhadap peranan negara sebagai sebuah negara progresif dan berprinsip.
“Ia membuka pintu ke pasaran baharu, mengukuhkan interaksi dengan kuasa ekonomi utama di selatan global, serta meningkatkan kedudukan Malaysia dalam memperjuangkan sistem kewangan dan perdagangan global yang lebih adil dan seimbang,” jelas MITI.
Walaupun data pelaburan yang dikemukakan adalah berdasarkan sumber muktamad dan bukan sumber segera, MITI berkata status Malaysia sebagai negara rakan BRICS tetap dilihat mampu membawa manfaat besar, khususnya dalam bentuk pelaburan baharu, penciptaan pekerjaan dan sokongan kepada pertumbuhan jangka panjang.
Malaysia sebelum ini sudah mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dengan negara-negara BRICS, terutamanya China dan India, sebelum diterima secara rasmi sebagai rakan BRICS pada awal 2025. - BERNAMA
standard

