Pelaburan loji klinker baharu dijangka lonjak pendapatan Cahya Mata pada FY27 - MBSB Research

23/07/2025 - 12:56
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 23 Julai – Perancangan Cahya Mata Sarawak Bhd untuk membina loji klinker baharu akan menggandakan kapasiti pengeluarannya, namun sumbangan kepada pendapatan kumpulan dan nilai aset bersih hanya dijangka bermula pada tahun kewangan 2027 (FY27), menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah tersebut membantu Cahya Mata merancang ke hadapan bagi memenuhi keperluan kapasiti masa depan dan berada dalam kedudukan kukuh untuk menyokong agenda perindustrian negeri Sarawak.
"Dengan perbelanjaan infrastruktur di Sarawak yang dijangka meningkat, Cahya Mata adalah antara penerima manfaat utama daripada agenda perindustrian negeri dan pertumbuhan serantau," kata MBSB dalam nota kajiannya.
Pembinaan Clinker Line 2 akan menggandakan kapasiti klinker tahunan Cahya Mata daripada 900,000 tan kepada 1.9 juta tan serta mengurangkan kebergantungan terhadap import secara ketara.
Projek itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman luar.
MBSB mengekalkan saranan “beli” terhadap saham Cahya Mata dengan menaikkan sasaran harganya kepada RM1.57 sesaham berdasarkan jangkaan keuntungan syarikat sebanyak 15.7 sen bagi FY26 dan nisbah harga-pendapatan 10 kali.
Firma itu turut mengekalkan unjuran pendapatannya memandangkan keputusan suku pertama tahun kewangan 2025 dan kemajuan pembinaan loji baharu itu adalah selaras dengan jangkaan.
Ketika ini, Cahya Mata turut mengendalikan tiga loji pengisaran simen di Kuching dan Bintulu, serta terminal pengedaran di Sibu dan Miri.
"Rangkaian rantaian bekalan menyeluruh kumpulan ini berada dalam kedudukan baik untuk menyokong projek mega akan datang seperti Fasa 2 Jalan Penghubung Sarawak–Sabah (Sarawak–Sabah Link Road), Lebuhraya Trans Borneo dan projek berkaitan petrokimia di Bintulu dan Samalaju," kata MBSB.
Baru-baru ini, Cahya Mata telah menganugerahkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan bernilai RM673 juta kepada syarikat daripada China, Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd bagi pembinaan loji baharu di Mambong, Kuching.
Projek itu telah menerima kelulusan penuh daripada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta Pihak Berkuasa Perancang Negeri, sekali gus membolehkan pelaksanaannya diteruskan tanpa sebarang halangan.- DagangNews.com
standard

