Sarawak kini bersedia memasuki fasa pertumbuhan ekonomi baharu - CIMB Research

22/07/2025 - 12:29
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 22 Julai - Sarawak dijangka memasuki fasa pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak, dipacu oleh agenda tenaga bersih, peluasan infrastruktur dan pembangunan industri dengan pilihan raya negeri yang akan datang berpotensi merangsang minat pelabur lebih tinggi, kata CIMB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, tumpuan pelabur dijangka kembali meningkat terhadap saham-saham berkaitan Sarawak, menjelang pilihan raya negeri yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 10 April 2027.
"Transformasi pembangunan negeri itu kini digerakkan menerusi Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030), yang menyasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencecah RM282 bilion serta pendapatan isi rumah median sebanyak RM15,000 menjelang 2030.
"Ini mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sekitar 8 peratus berdasarkan KDNK berjumlah RM136 bilion pada tahun 2019," kata CIMB Research dalam nota kajiannya.
Pada tahun lalu, Sarawak berjaya menarik pelaburan yang diluluskan berjumlah RM16.1 bilion.
Bagi tahun 2025, kerajaan negeri telah membentangkan belanjawan bersejarah sebanyak RM15.8 bilion, dengan 70 peratus diperuntukkan untuk pembangunan, terutama infrastruktur sebagai keutamaan.
Menurut CIMB Research, terdapat usaha yang semakin mendesak untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur utama bagi menyokong pelan hala tuju PCDS 2030.
"Antara inisiatif tumpuan termasuk pembinaan lapangan terbang baharu, pelabuhan, pembangunan 10 taman perindustrian serta naik taraf bekalan air.
"Seiring matlamat menjadi hab tenaga bersih serantau, Sarawak merancang untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga kepada 15 gigawatt menjelang tahun 2035.
"Langkah ini turut menyokong inisiatif eksport tenaga merentas sempadan menerusi rangkaian kuasa ASEAN," kata firma itu.
Kajian itu menyatakan bahawa negeri tersebut kini beralih daripada projek empangan mega kepada penggunaan teknologi seperti hidro berperingkat, solar terapung dan storan hidro pam.
Sarawak juga dilihat aktif membangunkan ekonomi hidrogen, dengan memanfaatkan sumber tenaga hidro yang banyak untuk pengeluaran dan eksport hidrogen hijau.
"Dua projek utama iaitu H2ornbill dan H2biscus dijangka menghasilkan lebih 240,000 tan hidrogen setahun untuk pasaran Jepun dan Korea Selatan menjelang 2029. Nilai keseluruhan projek hidrogen yang sedang dibangunkan dianggarkan mencecah RM20 bilion.
"Bagi menyokong perindustrian, beberapa zon utama seperti Taman Perindustrian Samalaju (SIP) dan Taman Perindustrian Petchem Kidurong kini sedang diperluas.
"SIP telah meraih pelaburan sebanyak RM57 bilion dan hanya 12 peratus kawasan masih belum dibangunkan," katanya.
Pada masa sama, Sistem Pengangkutan Bandar Kuching yang bakal menggunakan kenderaan transit autonomi berkuasa hidrogen dijangka memulakan fasa pertama operasinya menjelang 2028.
Antara syarikat yang dijangka meraih manfaat daripada pembangunan pesat Sarawak termasuk Gamuda Bhd yang berpotensi memperoleh kontrak jalan raya bernilai sehingga RM1 bilion, serta IJM Corp Bhd yang kembali mengukuhkan kedudukan menerusi dua kontrak projek trem.
Selain itu, Ibraco Bhd yang terlibat dalam pengeluaran paip air dan asfalt, serta Cahya Mata Sarawak Bhd yang menawarkan pendedahan menyeluruh terhadap ekonomi berasaskan sumber negeri turut dilihat bakal mendapat limpahan manfaat.
Solarvest Holdings Bhd pula terus memainkan peranan sebagai pemangkin utama dalam peralihan tenaga solar dan hidrogen negeri itu.
Dengan peningkatan pendapatan menerusi pertumbuhan berasaskan infrastruktur, saham berkaitan pengguna juga dijangka menerima kesan positif.
CIMB Research menyenaraikan CCK Consolidated Holdings Bhd dan Supreme Consolidated Resources Bhd sebagai antara syarikat yang akan menerima manfaat daripada peningkatan permintaan makanan dan minuman di negeri tersebut.
CCK dikenali sebagai pembekal unggul ayam secara menyeluruh di Sarawak dengan rangkaian runcit merangkumi 79 cawangan di Sabah dan Sarawak. Supreme pula merupakan syarikat barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) yang memfokus kepada pengedaran produk makanan di seluruh Borneo.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu turut mengingatkan pelabur supaya berwaspada terhadap beberapa risiko seperti cabaran ekonomi global, kekurangan tenaga kerja mahir, kesukaran mendapatkan pembiayaan projek berskala besar, persaingan daripada kontraktor asing serta jumlah syarikat tersenarai yang masih terhad dalam segmen ekonomi hidrogen. - DagangNews.com
featured standard

