hamden25/11/2026 - 17:01 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - Kerajaan perlu memastikan kemasukan pelaburan besar-besaran dalam sektor pusat data diterjemahkan kepada aktiviti perniagaan sebenar, penglibatan rantaian bekalan tempatan serta pewujudan pekerjaan berkualiti tinggi, bukannya sekadar membawa masuk modal asing.
Pengerusi Institut REHDA, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, pertumbuhan pesat sektor pusat data dan pengkomputeran awan perlu diseimbangkan dengan keupayaan negara memperoleh manfaat ekonomi lebih menyeluruh, termasuk memastikan syarikat tempatan berpeluang menyertai rantaian nilai industri berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu menguruskan peningkatan permintaan terhadap utiliti dan kesan pembangunan projek pusat data terhadap komuniti setempat bagi memastikan pertumbuhan sektor itu tidak mencetuskan bantahan masyarakat.
"Kerajaan perlu memastikan pelaburan benar-benar diterjemahkan kepada perniagaan yang beroperasi, aktiviti rantaian bekalan tempatan dan pekerjaan lebih baik, selain menguruskan permintaan yang dibawa oleh projek baharu terhadap komuniti sekeliling," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media menjelang REHDA Institute CEO Series 2027.
Penyertaan syarikat tempatan perlu dipertingkat
Ng mempersoalkan sejauh mana Malaysia memperoleh manfaat ekonomi sekiranya pelabur asing terlalu bergantung kepada pekerja, bahan dan peralatan yang dibawa masuk dari negara asal mereka.
"Dalam kes pusat data sebagai contoh, pelaburan boleh dibawa masuk ke Malaysia, tetapi jika pekerja, bahan dan peralatan semuanya dibawa dari negara pelabur itu, bagaimana Malaysia mendapat manfaat?" katanya.
Justeru, beliau berkata syarikat tempatan perlu diberikan peluang untuk terlibat sebagai pembekal, rakan kongsi atau pelabur bersama bagi memastikan pemindahan teknologi dan pengetahuan dapat direalisasikan.
Ng berkata, usaha menarik pelaburan sahaja tidak mencukupi kerana Malaysia turut memerlukan infrastruktur, keupayaan industri dan tenaga kerja berkemahiran untuk memastikan pelaburan berkenaan menjana aktiviti ekonomi yang berterusan.
"Memperoleh pelaburan hanyalah sebahagian daripada persamaan. Malaysia juga memerlukan infrastruktur, keupayaan industri dan tenaga kerja berkemahiran untuk menukarkan pelaburan itu kepada aktiviti ekonomi yang mampan.
"Cabaran yang perlu ditangani ialah memastikan pertumbuhan membina industri bernilai tinggi dan menyebarkan peluang merentasi sektor serta wilayah, bukannya tertumpu kepada beberapa sektor sahaja," katanya.
TVET perlu penuhi permintaan kepakaran pusat data
Sementara itu, Pemegang Amanah Institut REHDA, Datuk Seri Michael KC Yam berkata sektor pusat data turut menawarkan peluang untuk membangunkan kepakaran teknikal rakyat Malaysia, khususnya dalam pengendalian dan penyelenggaraan kemudahan selepas pembinaannya selesai.
Beliau berkata sesetengah projek baharu memerlukan kepakaran yang melangkaui kemampuan perunding tempatan, sekali gus membuka peluang kerjasama dengan pakar asing.
Sehubungan itu, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu disesuaikan bagi memenuhi keperluan kemahiran industri yang semakin meningkat.
"Salah satu kesannya ialah program TVET kita perlu meningkatkan keupayaan bagi menyediakan kepakaran dan kemahiran untuk mengendalikan serta menyelenggara pusat data ini," katanya.
Beliau menambah bahawa syarikat multinasional lazimnya menilai ketersediaan tenaga mahir dan risiko operasi sebelum membuat keputusan pelaburan, manakala kebergantungan berterusan terhadap tenaga profesional teknikal ekspatriat akan melibatkan kos yang tinggi. - DagangNews.com






