
SHAH ALAM, 23 NOV: Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) akan terus diperkukuh sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu di utara negeri menerusi pelaksanaan beberapa projek baharu.
Antaranya penumpuan fasa di Zon Industri Perikanan Sungai Lang (ZIPS) merangkumi kawasan seluas 550 ekar, Kompleks Pendaratan Bersepadu Sekinchan (SILP), Pusat Pelancongan Ban Canal serta pengiktirafan Rizab Biosfera Anjung Utara Selangor.
EXCO Perpaduan Dato’ Rizam Ismail merangkap pengerusi SABDA berkata pihaknya juga akan membangunkan pertanian pintar di Smart Selangor Agro Farm (SSAF) Sungai Air Tawar dengan tanaman sulur nanas MD2 , benih betik Selangor selain sasaran pengeluaran benih kelapa hibrid mulai 2029 hingga 2031.
“Kerajaan Negeri menyasarkan SABDA melalui penetapan empat hala tuju strategik iaitu memperkukuh kedudukan Sabak Bernam sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu di utara Selangor serta memastikan pembangunan bersepadu, berdaya saing dan mampan.
“Pembangunan ini juga memberi penekanan kepada asas kelestarian serta mewujudkan ekosistem ekonomi biru yang mampan dan mampu bersaing bagi memenuhi keperluan bekalan tempatan dan mampu menembusi pasaran luar negara,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, Rizam berkata pembangunan bersepadu dengan peringkat persekutuan turut dirancang dengan cadangan untuk memasukkan Sabak Bernam dalam program pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
“Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan cadangan ini dan berharap apabila direalisasikan kelak, ia pasti dapat melonjakkan pembangunan wilayah di SABDA yang terletak di utara Selangor.
“Usaha ini dapat memangkin kesinambungan ekonomi rentas sempadan Sabak Bernam dan Bagan Datuk yang disokong dengan pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang (Perak),” katanya.
SABDA yang melibatkan pembangunan tanah seluas 1,317 hektar merangkumi enam projek utama beroperasi sejak tahun lalu dijangka menjana sekitar RM1.9 bilion pelaburan sekali gus mencipta 3,600 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Ia melibatkan lima kluster iaitu menambah komoditi bernilai tinggi, khidmat sokongan, membangun industri hiliran dan asas tani, meningkatkan sektor pelancongan serta merancakkan pembangunan infrastruktur.
Ketika membentang Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan rancangan itu memperluas prinsip 'no one left behind' menerusi pembangunan seimbang merentasi daerah termasuk SABDA digerakkan lebih pantas.
Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, SABDA yang bertujuan mengintegrasikan sektor pertanian serta eko-pelancongan di pantai barat Selangor juga akan disokong dengan beberapa antaranya Selangor Biosphere Reseve, pusat pendaratan makanan laut di Sekinchan selainm Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Air Manis.






