Pelaburan sukan bina masa depan masyarakat, perkukuh Selangor FC

LocalFootball
7 Oct 2026 • 6:09 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pelaburan sukan bina masa depan masyarakat, perkukuh Selangor FC

SHAH ALAM, 7 OKT: Pelaburan dalam sukan dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan masyarakat, bukan sekadar sokongan kepada prestasi sesebuah pasukan.

Prinsip itu menjadi asas kepada komitmen berterusan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Infrasel terhadap Selangor FC, termasuk sumbangan hampir RM3.5 juta dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Nizran Noordin berkata kerjasama strategik bersama Selangor FC mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat dalam menyokong pembangunan bola sepak negeri secara berterusan.

Image from: Pelaburan sukan bina masa depan masyarakat, perkukuh Selangor FC
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menerima cenderamata dari Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Nizran Noordin sempena majlis menandatangani kerjasama rakan strategik Selangor FC (SFC) bersama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Infrasel Sdn Bhd di Menara Bank Rakyat, Shah Alam pada 7 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Majlis pada hari ini bukan sekadar menandatangani kerjasama di antara tiga buah organisasi, malah ia merupakan usaha memperkukuh hubungan strategik antara KSSB dan Infrasel bersama Selangor FC.

“Kami sentiasa percaya bahawa pelaburan dalam sukan adalah pelaburan untuk masa depan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Kerjasama Rakan Strategik Selangor FC bersama KSSB dan Infrasel di sini hari ini.

Menurut Nizran, sokongan KSSB dan Infrasel terhadap bola sepak Selangor telah terjalin sejak sekian lama dan kerjasama itu diharap dapat membuka lebih banyak ruang untuk memperkukuh pembangunan sukan negeri.

Katanya, sokongan berterusan itu juga dapat memupuk rasa kekitaan dalam kalangan masyarakat terhadap Selangor FC sebagai pasukan kebanggaan negeri.

Image from: Pelaburan sukan bina masa depan masyarakat, perkukuh Selangor FC
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan majlis menandatangani kerjasama rakan strategik Selangor FC (SFC) bersama Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Infrasel Sdn Bhd di Menara Bank Rakyat, Shah Alam pada 7 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Majlis pemeteraian itu disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata kerjasama dengan syarikat milik Kerajaan Negeri seperti KSSB dan Infrasel memberi impak positif terhadap perkembangan kelab.

Menurutnya, antara pencapaian yang direkodkan ialah kejayaan skuad utama mara ke final kejohanan kelab ASEAN musim lalu, pencapaian pertama sejak 1967.

“Kerjasama jangka masa panjang ini juga membantu meletakkan Selangor FC sebagai antara kelab terbaik di ASEAN melalui kelayakan berturut-turut ke Liga Juara-Juara 2 (ACL2),” katanya.

Beliau berharap hubungan strategik antara ketiga-tiga pihak dapat diteruskan bagi membuka lebih banyak peluang dan menyokong kemajuan Selangor FC pada masa depan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved