
SHAH ALAM, 6 OKT: Pelajar berusia 19 tahun ditemui mati, dipercayai akibat dicekik selepas berlaku pertengkaran dengan teman lelakinya di sebuah bilik di Air Putih, Kuantan hari ini.
Suspek lelaki berusia 19 tahun, yang berada di premis berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, suspek menghubungi polis pada jam 4.32 pagi susulan pertengkaran antara beliau dan mangsa.
"Mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di atas katil di tingkat bawah rumah berkenaan. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan tekanan di leher mangsa dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
"Suspek ditahan di tempat kejadian. Siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara suspek dan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Ashari berkata, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, bagi menentukan punca kematian.
"Polis akan merakam percakapan saksi dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.
"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan," katanya.
Ashari berkata, Mahkamah Majistret membenarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek sehingga 12 Oktober ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.






