Bergaduh Dengan Teman Lelaki, Remaja 19 Tahun Maut Dicekik 

6 Oct 2026 • 2:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bergaduh Dengan Teman Lelaki, Remaja 19 Tahun Maut Dicekik 

KUANTAN - Belum reda kes pembunuhan Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, seorang lagi pelajar perempuan maut dicekik teman lelakinya, selepas keduanya dipercayai bertengkar.

Mayat mangsa yang berusia 19 tahun ditemui di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih 2, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, polis menahan teman lelaki mangsa yang juga berusia 19 tahun di lokasi kejadian, selepas suspek sendiri menghubungi talian kecemasan MERS 999 pada jam 4.32 pagi bagi memaklumkan mengenai pertengkaran berkenaan.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis ditugaskan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya di lokasi, polis menemukan seorang pelajar wanita berusia 19 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil di tingkat bawah premis berkenaan.

“Pemeriksaan fizikal oleh pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa sebelum pegawai perubatan mengesahkan kematiannya,” katanya hari ini.

Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan terbabit.

Pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bersama Unit K9 turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh di tempat kejadian bagi mengumpul bahan bukti.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini dan polis memperoleh perintah reman selama tujuh hari sehingga 12 Oktober.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bedah siasat dijadualkan dijalankan di Jabatan Forensik HTAA bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Dalam pada itu, siasatan masih diteruskan termasuk dengan merakam keterangan saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian.

Ashari turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan itu boleh menjejaskan siasatan.

Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu polis. - Getaran, 6 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved