Pelajar cedera selepas ditendang, ditumbuk senior

LocalPolitics
14 Sep 2025 • 10:49 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Lambat masuk ke bilik asrama menjadi punca seorang pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah di Kinarut cedera ditendang senior.

Berikutan kejadian yang berlaku pada malam 7 September lalu itu, ibu pelajar berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September, disusuli laporan kedua di IPD Kota Kinabalu pada Sabtu.

Peguam mewakili ibu mangsa, Nurshalilah Fauzan Mailin berkata kejadian dipercayai berunsur buli itu berlaku di sekolah berkenaan sekitar pukul 11 malam.

“Mangsa mendakwa ditendang di bahagian perut, ditampar pada pipi dan hidung ditumbuk oleh seorang pelajar tingkatan empat sehingga mengakibatkan kecederaan.

“Selain itu, mangsa pada malam sama diminta ‘menggosok’ baju oleh seorang pelajar tingkatan tiga sekolah terbabit.

“Anak guam saya membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh salah seorang guru sekolah berhubung kejadian itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan IPD Kota Kinabalu pada Sabtu.

Nurshalilah berkata, walaupun IPD Papar mungkin sedang menjalankan siasatan, namun beberapa hari ini seolah-olah ada cubaan untuk kes ini diselesaikan secara baik antara keluarga terbabit.

“Kejadian buli akan terus berlaku tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil kepada pembuli atau pelajar yang melakukan kesalahan, jika perkara tersebut diselesaikan sebegitu,” katanya.