Pelajar cedera terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah

29 Jun 2024 • 9:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa cedera selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah dekat Kajang pada Jumaat.

KAJANG - Seorang pelajar lelaki cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 5.50 petang.

"Siasatan mendapati mangsa yang juga pelajar tingkatan 1 didapati terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang bagi rawatan lanjut.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan akibat kejadian itu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Muhammad Faizal Azizi di talian 011-16120032 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor bagi membantu siasatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!