Pelajar cipta ambulans solar pertama dunia

WorldTechnology
1 Sep 2026 • 2:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pelajar cipta ambulans solar pertama dunia

AMSTERDAM: Sekumpulan pelajar dari Belanda membangunkan ambulans berkuasa solar, Stella Juva, bagi membantu membawa perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Afrika yang sukar mendapatkan rawatan.

Kira-kira satu pertiga penduduk Afrika tinggal lebih dua jam dari kemudahan kesihatan, manakala kekurangan bekalan elektrik di fasiliti perubatan turut mengehadkan jenis rawatan yang boleh diberikan.

Stella Juva dilengkapi pelbagai peralatan perubatan termasuk mesin sinar-X, mesin ultrabunyi dan peti sejuk bagi memastikan vaksin disimpan pada suhu sesuai.

Ambulans itu menggunakan panel solar di bahagian bumbung yang membolehkannya dicas ketika bergerak.

Ia turut dilengkapi panel solar tambahan yang boleh dipanjangkan dan dilipat keluar ketika kenderaan tidak bergerak bagi meningkatkan kawasan permukaan untuk pengecasan.

Pasukan Solar Eindhoven, terdiri daripada 23 pelajar Universiti Teknologi Eindhoven dan dua institusi pendidikan lain, menyifatkan Stella Juva sebagai ‘ambulans solar pertama di dunia’.

Namun, kenderaan itu lebih berfungsi sebagai klinik kesihatan bergerak. Ia sebaliknya membawa peralatan perubatan dan bekalan tenaga ke kawasan yang kekurangan kemudahan kesihatan.

Pasukan itu memandu Stella Juva sejauh lebih 800 kilometer (km) mengelilingi Kenya, termasuk ke sebuah klinik kesihatan di Mosiro, wilayah Narok di barat daya negara itu yang tidak mempunyai bekalan elektrik.

Selain Stella Juva, Pasukan Solar Eindhoven pernah membangunkan kenderaan yang lebih mesra alam, termasuk kenderaan lasak berkuasa solar pertama di dunia, Stella Terra.- CNN

 

The post Pelajar cipta ambulans solar pertama dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved