Sebuah tinjauan terkini membabitkan 500 pelajar sekolah menengah di Singapura mendedahkan bahawa kesemua responden menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menyiapkan tugasan sekolah mereka.
Apa yang membimbangkan, ada antara mereka mengaku menggunakan AI bukan kerana ingin belajar dengan lebih baik, tetapi sekadar untuk mengelak membuang masa terhadap subjek yang sukar.
Seorang pelajar tingkatan dua misalnya berkata dia menggunakan AI untuk menyelesaikan kerja matematik kerana subjek itu terlalu mencabar baginya. Katanya, dia lebih rela menyerahkan tugasan kepada AI berbanding berusaha memahami topik yang sukar difahami.
Tinjauan itu seperti yang dilaporkan oleh The Independent Singapore memetik saluran CNA, turut mendedahkan bahawa 84 peratus pelajar menggunakan AI sekurang-kurangnya sekali seminggu. Daripada jumlah itu 43 peratus menggunakannya seminggu sekali, 29 peratus beberapa kali seminggu manakala 12 peratus menggunakan AI setiap hari.
Antara tujuan utama pelajar menggunakan AI termasuk untuk menjana idea tugasan (86 peratus), menyelesaikan soalan matematik (63 peratus) dan menyemak karangan (47 peratus). Seorang lagi pelajar tingkatan tiga berkongsi bahawa dia menggunakan ChatGPT apabila buntu menulis karangan Bahasa Inggeris, supaya dapat memulakan semula proses penulisan dengan lebih mudah.
Masih tiada garis panduan jelas di sekolah
Walaupun penggunaan AI semakin meluas di kalangan pelajar, hanya 51 peratus menyatakan bahawa sekolah mereka mempunyai dasar atau garis panduan yang jelas berkaitan penggunaan teknologi ini. Selebihnya sama ada tidak pasti atau langsung tidak tahu tentang dasar yang ada.
Pakar pendidikan Jonathan Sim berkata, belum ada panduan menyeluruh yang boleh dijadikan rujukan rasmi bagi semua sekolah. Katanya, pendirian guru terhadap AI juga sangat berbeza dengan ada yang menerima dan menggalakkan penggunaan secara bertanggungjawab dan ada yang masih tidak pasti bagaimana untuk menguruskan teknologi ini dalam konteks pembelajaran.
Sim turut menekankan isu ketepatan alat pengesan AI yang katanya boleh menjejaskan hubungan antara pelajar dan guru. Jika seorang pelajar menulis dengan baik dan hasilnya sering dianggap dijana oleh AI, perkara tersebut boleh menurunkan motivasi dan keyakinan diri pelajar tersebut.
Tinjauan ini mencerminkan bagaimana AI telah menjadi sebahagian besar dalam kehidupan pelajar, namun pada masa sama menyerlahkan keperluan mendesak untuk pihak sekolah merangka pendekatan lebih jelas dan menyeluruh bagi memastikan teknologi ini digunakan dengan beretika dan seimbang.
Sumber : The independent Singapore
The post Pelajar di Singapura akui guna AI untuk elak ‘buang masa’ pada subjek sukar appeared first on The Reporter.




