Personalised Smart Reply Membolehkan Gmail Meniru Gaya Penulisan Pemilik Akaun

TechnologyDigital
21 May 2025 • 1:16 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Hampir semua orang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meringkaskan kerja di pejabat. Saya sendiri menggunakan Gemini dalam Gmail untuk membalas emel lazim yang dirasakan mengambil masa yang lebih baik digunakan untuk menulis berita. Tetapi emel yang ditulis AI kerap kali agak robotik tanpa emosi membuatkan penerima tahu bukan saya yang menulisnya.

image is not available

Ini diselesaikan dengan ciri baharu Personalised Smart Reply. Personalised Smart Reply akan melihat emel yang pernah ditulis, membaca penggunaan frasa paling kerap digunakan, melihat dokumen di Drive, dan melakukan carian di Google Docs untuk menulis jawapan yang lebih menyerupai gaya pemilik akaun. Terdapat beberapa pilihan gaya penulisan boleh dipilih bergantung kepada sejauh mana data peribadi ingin digunakan untuk menulis.

Ini adalah sebahagian daripada ciri Personal Context yang sedang dibangunkan oleh Google yang mengumpul maklumat pengguna merentasi pelbagai perkhidmatan mereka untuk memberikan saranan, jawapan, dan bantuan berdasarkan tabiat pengguna. Ciri Personalised Smart Reply akan diberikan kepada pengguna Gmail pada musim panas akan datang.