
SEMPORNA: Sekumpulan pelajar sekolah rendah dan guru dilaporkan basah kuyup selepas terjatuh ke laut dalam insiden jeti roboh,dipercayai uzur di Pulau Pababag, dekat sini, pada pagi Isnin.
Sebuah video memaparkan kejadian itu tular di media sosial yang menyaksikan kanak-kanak diselamatkan orang dewasa, dipercayai guru-guru dan penduduk kampung.
Mangsa kelihatan tenang, namun ada juga yang dilihat menangis kerana terkejut dan kesejukan.
Sementara itu, Bernama melaporkan seramai 25 murid dan dua guru terlibat dalam kejadian tersebut, dengan dua murid mengalami kecederaan ringan di bibir dan tangan, akibat terkena serpihan kayu serta simen jeti berkenaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Abidin Marjan berkata kejadian itu berlaku pada 6.45 pagi Isnin, ketika murid tersebut sedang turun dari bot mereka untuk ke jeti tersebut.
“Ketika kejadian dua orang guru turut terjun membantu menyelamat. Guru dan murid yang terlibat dalam kejadian itu juga dibenarkan pulang dan tiada kecederaan berat,” katanya.
Beliau berkata jeti itu merupakan sebuah jeti kampung yang menjadi jeti utama untuk ke SK Pulau Pababag.
Di KOTA KINABALU, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sulabayan Abdul Manan Indanan ketika ditemui pemberita berkata pihaknya berharap, peruntukan segera daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dapat disalurkan, bagi pembinaan semula jeti roboh di Pulau Pababag.
“Kebetulan pagi ini jumpa menteri berkenaan (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), saya telah menunjukkan video jeti roboh dan murid terlibat, kita harap pembinaan segara dapat dilaksanakan, kita juga akan berjumpa ketua kampung dan pihak sekolah untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, Isnin.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan pada Isnin memberitahu, kementerian itu melalui Pejabat Pendidikan Daerah Semporna, telah mengambil langkah dengan menyiasat punca kejadian dan menyediakan bantuan segera, kepada semua mangsa terlibat.
“KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan, dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan dan keadaan struktur jeti yang selamat digunakan.
“KPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat, untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada, bagi memastikan agar kejadian seperti ini tidak berulang,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan usaha untuk memberikan bantuan sokongan psikososial terhadap guru dan murid yang menjadi mangsa akan terus digiatkan, selain KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru, ke sekolah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
