
Kota Kinabalu: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang selepas gagal pulang ke rumah, ditemukan selamat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata Gwynne Mia Erbin ditemukan kira-kira 3 petang Selasa di hadapan rumah rakannya di Lorong Seri Pelangi, Inanam.
“Remaja itu ditemui bersendirian dalam keadaan sihat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati remaja itu tinggal di rumah rakannya sejak sehari sebelumnya.
Menurutnya, ibu mangsa kemudian membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk membuat laporan susulan.
Katanya, siasatan lanjut berhubung kes itu masih diteruskan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan.
Syed Lot turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama menyalurkan maklumat serta membantu menyebarkan hebahan mengenai kehilangan remaja itu.






