Farm Fresh Ambil Peluang Luaskan Pasaran Lepas Konflik 2 Negara, Kini Jadi Jenama Susu Popular Di Kemboja

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2025 • 5:44 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Umum sedia maklum pada 24 Julai lalu, berlakunya pertempuran bersenjata di kawasan sempadan Thailand dan Kemboja. Insiden melibatkan tembakan, pengeboman dan roket itu telah meragut nyawa penduduk di kedua-dua negara tersebut.

Selepas berdepan dengan krisis selama beberapa hari, Perdana Menteri Kemboja, Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesediaan mereka untuk gencatan senjata serta-merta pada 12 malam, 28 Julai.

Pun begitu, konflik di antara dua negara ASEAN itu belum reda sepenuhnya apabila sesetengah penduduk Kemboja dikatakan memboikot barangan keluaran Thailand.

PMX Cadangkan Farm Fresh Untuk Bekalkan Stok Susu Segar Ke Kemboja

Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Facebook apabila Ketua Pegawai Operasi (COO) dan tokoh penting di sebalik jenama produk tenusu tempatan, Farm Fresh Milk Sdn. Bhd. iaitu Azmi Zainal berkongsi berita gembira apabila telah berjaya menembusi pasaran Kemboja.

Menurutnya, konflik yang berlaku di antara Thailand dan Kemboja sebelum ini telah meninggalkan impak yang mana ramai penduduk tempatan Kemboja mula memboikot produk dan barangan daripada negara jiran.

Kemboja juga dikatakan telah menyekat kemasukan produk Thailand dari darat sekaligus mengakibatkan stok produk susu segar dalam keadaan kritikal.

Namun begitu, atas inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farm Fresh telah dicadangkan sebagai jenama bagi membekalkan susu segar dengan kadar segera ke Kemboja.

Untuk info, Anwar selaku Pengerusi ASEAN telah mengaturkan satu mesyuarat khas bagi mendamaikan konflik di antara dua negara itu sebelum ini.

image is not available
Sumber: Facebook Azmi Zainal

Susu Pasteur Antara Produk Utama Dibekalkan Oleh Farm Fresh

Antara kategori produk Farm Fresh yang memasuki pasaran Kemboja ini ialah susu pasteur, AusFresh, dan yogurt.

“AEON adalah pasar raya pertama yang keluarkan PO (purchase order) pada Farm Fresh atas dasar keyakinan dan hubungan niaga yang telah lama bersama mereka,” kata Azmi yang lebih mesra dikenali sebagai Bos Susu.

image is not available
Foto: Produk tenusu Farm Fresh

Susu Farm Fresh Terima Sambutan Luar Biasa Warga Kemboja

Menurutnya, susu keluaran Farm Fresh telah mendapat sambutan positif daripada orang ramai sekaligus mencerminkan kejayaan jenama tempatan itu bagi melakarkan nama di peringkat antarabangsa.

Tambah Azmi, Kemboja merupakan negara ke-4 di Asia Tenggara yang dibekalkan susu oleh Farm Fresh.

image is not available
Sumber: Facebook Azmi Zainal

“Sampai je (rak display di pasar raya) tak sampai seminggu licin. Kini kafe-kafe dan hotel-hotel di Kemboja dah mula minta kami supply.

“Dulu pesaing kami kata mustahil Malaysia boleh jadi pengeksport produk tenusu. Mereka kata cuaca kita tak sesuai. Tapi bagi kami, bukan cuaca tapi siapa. Alhamdulillah kami berjaya melakukannya,” kongsi Bos Susu.

Di akhir perkongsian, Azmi juga mengambil kesempatan bagi mengucapkan terima kasih kepada Anwar dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) kerana banyak membantu merealisasikan projek tersebut.

Ramai Teruja Dengan Pencapaian Farm Fresh Tembusi Pasaran Luar

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut berbangga apabila jenama tempatan Malaysia mula diiktiraf di negara luar.

“Siapa sangka negara tropika macam Malaysia ni boleh eksport susu ke negara-negara lain. Alhamdulillah berkat usaha sains dan teknologi kita berjaya,” kata seorang pengguna Facebook.

Sementara itu, ramai juga mendoakan kejayaan Farm Fresh agar sentiasa kekal relevan di pasaran.

“Ada yang nampak pergeseran ni sebagai musibah. Ada (pihak) yang nampak peluang. Tahniah!” ujar seorang netizen.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available
Sumber: Facebook Azmi Zainal

Source: