Pelajar IPT & Budak Sekolah Berduaan Dalam Kereta Dicekup Selepas Lari Pemeriksaan Polis

LocalPolitics
2 Dec 2025 • 9:59 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan teman wanitanya yang merupakan pelajar sekolah yang disyaki berduaan di dalam sebuah kereta telah dicekup polis selepas melarikan diri daripada pemeriksaan.

Kedua-dua mereka ditahan kira-kira 3.30 petang semalam (1 Disember) selepas polis mengejar kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki pasangan berkenaan sejauh kira-kira lima kilometer.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, kejadian berlaku ketika anggota unit kereta peronda (MPV) melihat sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Kampung Rual Dalam, Kelantan.

Penuntut IPT pecut kereta, enggan beri kerjasama semasa periksana polis

Menurutnya, pelajar IPT itu bertindak memecut kereta dipandunya dan enggan memberi kerjasama semasa pemeriksaan polis dijalankan.

“Anggota MPV mengejar kereta itu dan pemandunya menghimpit kenderaan polis sebelum berjaya ditahan di Kampung Rabbana.

“Pemandu kereta itu bertindak melarikan diri sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis. Pemeriksaan di dalam kereta itu turut mendapati ada seorang remaja perempuan,” katanya dipetik Kosmo.

Pasangan kekasih terkejut dengan kehadiran polis

Ujar Kamarulzaman, lelaki dan remaja itu dipercayai terkejut dengan kehadiran anggota polis yang hadir untuk membuat pemeriksaan semasa mereka berada di dalam kereta di tepi jalan.

Menurutnya lagi, siasatan mendapati pemandu kereta itu merupakan pelajar di sebuah IPT di Jeli manakala remaja perempuan berkenaan masih bersekolah.

Berkongsi lanjut, Kamarulzaman berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis dan memandu secara berbahaya.