Exco Melaka jelaskan kejadian sebenar murid Tahun Lima terjatuh dari bangunan sekolah

7 May 2026 • 6:23 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Exco Melaka jelaskan situasi sebenar murid Tahun Lima jatuh bangunan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman menjelaskan bahawa kejadian seorang murid lelaki Tahun Lima yang terjatuh dari koridor sebuah sekolah rendah di Batu Berendam semalam berlaku akibat tindakan sendiri dan bukan berpunca daripada faktor lain.

Memetik laporan Harian Metro, Rahmad memaklumkan insiden yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu bermula apabila murid berkenaan mengambil kasut rakannya sebelum membalingnya ke atas bumbung laluan pejalan kaki di sekolah tersebut.

“Murid terbabit dikatakan mengambil kasut sekolah rakannya sebelum membalingnya ke atas bumbung. Apabila rakannya marah, dia memanjat ke bahagian bumbung di kawasan garaj kereta cikgu untuk mengambil semula kasut tersebut.

“Selepas berjaya mengambil kasut itu, mangsa cuba memanjat semula tembok koridor namun dipercayai hilang imbangan dan tergelincir sebelum terjatuh,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial yang memaklumkan dakwaan seorang murid terjatuh dari bangunan.

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yang mendoakan agar murid berkenaan segera sembuh.

The post Exco Melaka jelaskan kejadian sebenar murid Tahun Lima terjatuh dari bangunan sekolah appeared first on The Reporter.