
KUALA LUMPUR - Seorang pelajar kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kluang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan yang baru dilahirkannya.
Tertuduh, Nurshazwen Mohd Idris, 19, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Nurshazwen didakwa menyebabkan kematian bayi perempuan yang baru dilahirkan itu di sebuah rumah di Taman Setia Mutiara kira-kira jam 10 pagi, 29 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh turut berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Aznan yang memaklumkan, tiada tawaran jaminan diberikan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan analisis kimia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, dilaporkan berkata, seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes sama akan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.
Pada Rabu lalu, pelajar lelaki terbabit direman sehari selepas tamat tempoh reman tujuh hari yang bermula pada 30 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad pada 30 Julai lalu dilaporkan berkata, polis menahan sepasang pelajar kolej berusia 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Menurut beliau, polis menerima laporan kira-kira jam 1 tengah hari mengenai seorang pelajar wanita yang dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) selepas melahirkan anak.
Hasil siasatan mendapati bayi terbabit ditemukan oleh kakitangan pengajar kolej, manakala pemeriksaan lanjut di HEBHK mengesahkan pelajar wanita itu masih mengandungkan seorang lagi bayi kembar yang kemudiannya berjaya dilahirkan dengan selamat. - Getaran, 7 Ogos 2026





