
BUTTERWORTH : Seorang guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di negeri ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lapan pertuduhan membabitkan perlakuan amang seksual fizikal termasuk mencabul kehormatan beberapa pelajar lelaki antara Mei 2023 hingga Januari lalu.
Tertuduh, Ahmad Fahmi Haron, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan ke atasnya secara berasingan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah sekolah dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) antara tempoh April hingga Mei 2024.
Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua hingga kelapan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap enam pelajar lelaki yang berusia antara 13 hingga 17 tahun secara berasingan tanpa kerelaan mereka dengan niat untuk mencabul kehormatan di sebuah bilik dan kantin sekolah antara Mei 2023 hingga Januari 2026.
Bagi kesemua pertuduhan itu pula, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau didenda atau disebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh pula diwakili peguam, Muhd. Nazreev Mohd. Najeeb.
Ketika prosiding, Wan Amira Ruzaini tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana berpendapat bahawa pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh adalah amat serius selain membabitkan pelajar di bawah umur.
Beliau bagaimanapun berharap agar tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis pada setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan seandainya dibenarkan untuk diikat jamin.
Muhd. Nazreev dalam rayuannya pula berharap agar mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana tiada risiko mengganggu mangsa susulan dia tidak lagi bertugas di sekolah berkenaan dan telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah SPU.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM45,000 bagi semua pertuduhan iaitu RM10,000 bagi pertuduhan pertama serta RM5,000 bagi setiap pertuduhan iaitu kedua hingga kelapan dengan seorang penjamin.
Pada masa yang sama, tertuduh juga diarah melapor diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Kes disebut semula 14 September depan bagi tujuan serahan dokumen.-UTUSAN
The post Guru SABK dituduh lakukan amang seksual, cabul pelajar lelaki appeared first on Utusan Malaysia.






