
PORT DICKSON, 21 OKT: Seorang pelajar tahun akhir sebuah kolej yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah hotel di Lukut ditemukan maut di belakang sebuah kedai makan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata lelaki berumur 21 tahun itu ditemukan pada 6.05 pagi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 daripada orang awam.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan pada bahagian kepala dan abdomen akibat terjatuh dari tempat tinggi.
“Pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata mangsa dipercayai menginap di sebuah bilik sewa tiga tingkat yang dijadikan asrama berhampiran lokasi mayatnya ditemukan, dan pemeriksaan di tempat tinggal pelajar itu tidak menemukan sebarang kesan geledah atau kehilangan barang berharga serta dokumen peribadi.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dan dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
-- BERNAMA






