Pelajar kolej vokasional maut, motosikal rempuh kereta keluar simpang

LocalCars
15 Mar 2026 • 7:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lokasi kemalangan membabitkan motosikal dengan sebuah kereta di KM 134 Jalan Kuantan-Johor Bahru. Foto Polis Rompin
image is not available
Keadaan motosikal yang rosak teruk akibat kemalangan tersebut. Foto Polis Rompin

ROMPIN – Seorang pelajar Kolej Vokasional (KV) Rompin maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta yang dipercayai keluar dari simpang secara mengejut di Kilometer (KM)134 Jalan Kuantan-Johor Bahru, malam Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa, Muhammad Rafiq Haziq, 18, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Rompin akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha sedang bergerak lurus dari arah Kuala Rompin menghala ke arah Kuantan.

"Apabila sampai di lokasi kejadian iaitu di sebuah persimpangan tiga, sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 20 tahun dipercayai telah keluar dari simpang secara tiba-tiba.

**media[3463886]**

"Mangsa dipercayai cuba membrek dan mengelak, namun disebabkan jarak yang terlalu dekat, motosikal tersebut merempuh bahagian sisi kanan kereta berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau memaklumkan, perlanggaran berkenaan telah menyebabkan motosikal mangsa mengalami kerosakan hampir keseluruhan, manakala pemandu kereta dan seorang penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang keluar dari simpang sehingga mengakibatkan pelanggaran berlaku.

" Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelasnya

Pihak polis turut memohon kerjasama saksi kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.