Warga Kemboja maut, motosikal terbabas rempuh kereta

14 Mar 2026 • 12:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan motosikal dan kereta yang terlibat kemalangan maut di Selendang-Rompin berhampiran simpang Bukit Serdang di sini pada Sabtu

ROMPIN - Seorang lelaki warga Kemboja maut selepas motosikal ditunggang terbabas masuk laluan bertentang sebelum melanggar sebuah kereta di Jalan Selendang-Rompin berhampiran simpang Bukit Serdang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 8.05 pagi itu, mangsa, Chu Aly disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, wanita berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios dan penumpangnya berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda FH150 dipercayai dalam perjalanan dari arah Rompin menghala ke arah Selendang manakala kereta dari arah bertentangan.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk laluan bertentangan sebelum melanggar kereta dinaiki dua pekerja syarikat kurier itu " katanya.

Sharif Shai berkata, akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Hasil siasatan, mangsa menunggang motosikal milik rakan dengan cukai jalan tamat tempoh sejak 2021," katanya.

Beliau berkata, kemalangan maut meragut nyawa penunggang itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.