
Seorang pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan maut selepas mengalami kecederaan parah dipercayai terkena bilah sabit pada bahagian leher dalam satu kejadian yang berlaku di Teluk Intan, semalam.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang merupakan lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, seorang lagi mangsa berusia 17 tahun yang juga rakan sekolej mangsa turut tercedera dan kini menerima rawatan di hospital akibat kecederaan pada tangan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa oleh seorang lelaki menaiki motosikal dipercayai terkena pada bahagian leher mangsa.
“Ketika kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal sebelum sabit yang dibawa lelaki terbabit terkena pada bahagian lehernya,” katanya.
Baca juga:
Ketua DHPP Wilayah persoal tiada wakil India dalam Ahli Penasihat DBKL 2026
‘Tindakan undang-undang paling setimpal akan diambil’- Bapa Hayl Haarith
Dr Maza bimbang pengaruh ideologi ekstrem boleh cetus ketegangan agama
Susulan insiden tersebut, pihak polis telah menahan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
Selain penahanan suspek, polis turut merampas sebilah sabit serta sebuah motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Kedua-dua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.
The post Pelajar Kolej Vokasional Teluk Intan maut, leher terkena bilah sabit appeared first on The Reporter.

