Premis ‘sarang burung’ jadi asrama pelajar, pekerja asing diserbu bomba

27 Sep 2026 • 1:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Premis ‘sarang burung’ jadi asrama pelajar, pekerja asing diserbu bomba

KUALA TERENGGANU – Empat premis pejabat yang diubah suai tanpa kebenaran menjadi asrama termasuk salah satunya untuk pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar raya ini diserbu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Operasi bersepadu yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu mendapati kesemua premis tersebut tidak selamat sekiranya berlaku kecemasan termasuk kebakaran.

Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhammad berkata, pemeriksaan mendapati kesemua premis terbabit termasuk asrama pelajar perempuan terbabit bukan sahaja sempit dan tidak selesa, malah binaannya tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan hanya mempunyai satu laluan keluar.

“Kesemua lokasi (yang diserbu) bermasalah kerana menukar kegunaan daripada kelulusan asal diberi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ulasan JBPM.

“Kegunaan awal (premis) untuk pejabat, namun telah dijadikan asrama pekerja dan pelajar,” katanya selepas mengetuai pemeriksaan Operasi Sarang Burung di sebuah asrama pelajar IPT di Jalan Engku Sar, di sini, hari ini.

Serbuan turut dilakukan di tiga premis yang dijadikan asrama pekerja asing di Jalan Masjid Abidin; Jalan Engku Pengiran Anom 2; dan Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini.

Nor Mahathir berkata, keempat-empat pemilik premis asrama terbabit diberi notis amaran mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Beliau berkata, mereka diarahkan membuat permohonan menukar status kegunaan premis dengan MBKT dalam tempoh seminggu sebelum pengubahsuaian lain dilakukan kemudian dalam jangka masa bersesuaian. – KOSMO! ONLINE

The post Premis ‘sarang burung’ jadi asrama pelajar, pekerja asing diserbu bomba appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved