KUALA LUMPUR - Polis hari ini memaklumkan bahawa hasil siasatan awal kes membabitkan kematian seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang melanggar peraturan sekolah.
Susulan itu, suspek, seorang pelajar Tingkatan Empat dipercayai menegur dan menghukum mangsa berikutan kesalahan itu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata demikian ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Beliau berkata, suspek kini direman selama enam hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan selepas permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Seremban.
"Setakat ini, hanya seorang individu, iaitu pelajar Tingkatan Empat berkenaan, ditahan untuk membantu siasatan kes itu," katanya.
KES PELAJAR MAUT DI ASRAMA
ARTIKL BERKAITAN: Pelajar lelaki ditemui meninggal dunia di asrama sekolah dipercayai dibuli
Pelajar meninggal dunia di asrama: Pemimpin politik desak siasatan segera dakwaan buli
Pelajar meninggal dunia di asrama: Fadhlina sahkan seorang pelajar ditahan
Pelajar meninggal dunia di asrama: Polis siasat kes bunuh, tahan remaja 16 tahun
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Idlan Fareeq Shahril ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Seremban dan kemudian disahkan meninggal dunia.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mangsa yang berasal dari Gemenceh, Negeri Sembilan, itu merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Ibu saudara mangsa, Nur Hijrah (@Nurhijj), menerusi hantaran di Threads memaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan daripada adiknya yang memberitahu anaknya meninggal dunia selepas dipukul di asrama sekolah.
Dalam hantaran susulan, Nur Hijrah memaklumkan jenazah mangsa berada di Hospital Kuala Pilah sebelum dibawa ke Hospital Seremban untuk bedah siasat. - AWANI






